Thursday, July 24, 2008

Siswa





SIPITANG: Golongan mahasiswa perlu mengelak daripada terkongkong dalam persekitaran yang sama.


Sebaliknya golongan itu perlu berusaha untuk melihat dan mengetahui persekitaran luar, kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad.


Lihat juga persekitaran di luar dan jangan hanya menumpukan ssehingga terkongkong dalam persekitaran yang sama...untuk lebih matang dan berjaya, langkah inilah yang harus diambil, katanya pada program bakti siswa Kolej Universiti Isnaniah (KUIN) Kedah di Sekolah Ugama Islam Kampung Naluyan dekat sini kelmarin.

Beliau berkata golongan mahasiswa merupakan aset penting kepada negara pada masa depan.


Katanya sebagai asset penting, tentunya golongan itu diharap berupaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanhkan termasuklah membawa neegara terus maju dan membangun.

Tetapi haarapan itu tentu sahaja tidak akan tercapai jika golongan mahasiswa tidak memperdulikan persekitaran luar dan sebaliknya membiarkan diri mereka terkongkong dengan persekitaran yang sama,katanya dan menambah persekitaran di universiti sudah tentu berbeza dengan persekitaran di luar.


Menurutnya kehidupan bermasyarakat akan lebih dirasakan apabila golongan itu turut melihat persekitaran di luar universiti.


Beliau memberitahu langkah memberi perhatian terhadap apa yang berlaku di luar juga membantu golongan mahasiswa bagi berdepan dengan cabaran apabila keluar daripada universiti nanti.


Kita tidak mahu golongan mahasiswa teraba-raba atau tercengang-cengang apabila keluar dari universiti kerana berdepan dengan persekitaran baru yang lebih luas dan mencabar, katanya lagi.

Mengenai program itu, Sapawi berkata ianya merupakan salah satu program yang berupaya membina minda golongan mahasiswa.

Katanya program itu juga mendedahkan dan mengajak mahasiswa untuk berada di luar persekitaran universiti selain dapat memberi ruang kepada mereka untuk berbakti dan memberi sumbangan ke arah memajukan masyarakat luar bandar.

Guna peluang dan ruang ini untuk memberi sumbangan dan memperolehi pengalaman yang berguna, katanya lagi.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Pengarah Program Bakti Siswa KUIN Mohd Din Jair, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sipitang Abdul Rahman Mohd Noh, Guru Besar SUI Kampung Naluyan Jamaah Omar dan timbalan pengerusi PIBG SUI Kampung Naluyan Wira Idris.
Share |