Monday, November 30, 2009

Jangan Amalkan Berbelanja Boros


TAHNIAH...Sapawi menyampaikan hadiah kepada pasukan tarik tali wanita daripada Kampung Kalamauh, Sipitang


MURAH…Sapawi diperhatikan oleh Wahab dan Yunus melawat gerai pameran yang menyertai karnival jualan megah tersebut.


SIPITANG: `Beringat bila berbelanja dan usah amalkan sikap boros.’
Itulah nasihat Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika merasmikan Karnival Jualan Mega di perkarangan letak kereta di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Daerah Sipitang Abdul Wahap Abdul Hamid, Pengarah Mara Sabah Mohd Yunus Razali, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin mewakili Adun Sindumin Ahmad Bujang
Sapawi berkata sikap tidak beringat bila berbelanja dan amalan sikap boros akan membuat sesebuah keluarga atau individu berada dalam tekanan.
“Akibatnya kita tidak akan dapat menikmati kehidupan yang selesa…amat membimbangkan kerana tekanan itu boleh mendorong seseorang melakukan tindakan yang diluar dugaan,” katanya.
Menurutnya sebaik-baiknya ialah berbelanja untuk keperluan yang utama dan berasaskan kepada kemampuan.
Sapawi juga mengingatkan agar orang ramai khususnya masyarakat luar bandar tidak mudah dipengaruhi dengan pelbagai promosi.
Katanya pada musim perayaan, pelbagai promosi seperti jualan murah diadakan.
“Kita harus mengambil sikap berhati-hati kerana kemungkinan ada pihak tertentu mengambil kesempatan,” katanya lagi.
Menurutnya sikap berhati-hati akan dapat mengelak mereka untuk tidak tertipu dan tidak bersikap boros.
“Kita sering mendengar atau membaca laporan menerusi media mengenai mereka yang teripu pada musim perayaan, ia merupakan satu peringatan kepada kita untuk mengambil sikap berhati-hati,” katanya dan menambah tarikh luput setiap barang yang hendak dibeli perlu juga diberikan perhatian.
Sapawi turut mengingatkan agar orang ramai memberi perhatian terhadap beberapa barangan yang diletakkan sebagai barangan kawalan.
Katanya harga setiap barang itu telah ditetapkan oleh kerajaan dan perhatian orang ramai akan membantu usaha kerajaan dalam mengesan mana-mana peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Perhatian orang ramai membantu kerajaan dalam menangani isu seumpama ini, usah berdiam jika mendapati ada barangan terkawal dijual dengan harga yang mahal dan bukan harga yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
Share |