Monday, June 7, 2010

Mesra Rakyat Kg. Suasa


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Maimunah menyampaikan hadiah sempena pertandingan di majlis tersebut.

BEAUFORT: Seruan turun padang tidak hanya difokuskan kepada pemimpin atau wakil rakyat tetapi juga jabatan dan agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam mendekati dan memesrai rakyat.

"Seruan turun padang bukan hanya kepada pemimpin atau wakil rakyat tetapi juga jabatan dan agensi kerajaan," katanya pada program mesra rakyat anjuran Kemas Parlimen Sipitang di Kampung Suasa dekat sini kelmarin.

Menurutnya rakyat memerlukan penerangan mengenai perancangan yang sedang, hendak dan telah dilakukan yang berkaitan dengan jabatan dan agensi.

Katanya perkara itu hanya boleh diperjelaskan oleh jabatan dan agensi yang berkaitan "dan selalunya masalah yang diluahkan oleh rakyat kepada pemimpin dan wakil rakyat adalah berkaitan dengan jabatan dan agensi."

Beliau berkata jabatan dan agensi perlu sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan kepentingan utama kepada rakyat.

Menurutnya kerajaan sentiasa memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat mampu untuk diatasi dan tidak dibiarkan berpanjangan.

"Tugas dan tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada pemimpin atau wakil rakyat tetapi juga kepada jabatan dan agensi kerajaan," katanya dan menambah program anjuran Kemas merupakan salah satu cara untuk mendekati rakyat.

Katanya setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat haruslah diusahakan untuk diselesaikan dan tidak dibiarkan berpanjangan.

"Selami denyutan nadi rakyat dan berusahalah untuk mereka...ini tanggungjawab kita bersama," katanya lagi

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Kemas Sipitang Maimunah Latip, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Penolong Pegawai Kesihatan Beaufort Arsad Masjid dan Pengerusi JKKK Kampung Suasa Ruslan Muharam.


Share |