Tuesday, May 17, 2011

Umno Sipitang






MEMBAKUT: Kehebatan dan kekuatan parti mampu hancur sekiranya ahlinya mudah dipengaruhi dengan dakyah-dakyah yang disebarkan.

Sikap tidak menyelidiki dan tidak membuat penilaian menjadikan ahli parti sebagai individu yang tidak memiliki kesetiaan terhadap perjuangan parti, kata Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Beliau berkata akibat mudah dipengaruhilah ahli mudah untuk mempertikaikan barisan kepimpinan dan cara itu sebenarnya membelakangkan apa yang dikehendaki oleh parti.

“Sebab itulah Umno mengutamakan ahli yang berkualiti dan bukannya kuantiti…kualiti seseorang ahli adalah mereka yang tidak mudah dipesong dan mereka ini adalah ahli yang begitu kuat dengan kesetiaan terhadap perjuangan parti,” katanya pada majlis penangguhan kursus pemantapan dan transformasi organisasi di sini kelmarin.

Kursus selama tiga hari itu disertai oleh 180 ahli Umno dalam bahagian Sipitang.

Sapawi memberitahu kesetiaan terhadap perjuanganlah yang akan mendorong ahli untuk melakukan demi kepentingan rakyat dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu.

Katanya rakyat yakin dan percaya kepada Umno kerana kehebatan kesetiaan ahlinya terhadap perjuangan parti itu.

“Rakyat melihat kesungguhan dan keazaman kita dalam memperjuangkan nasib mereka dan ini kita lakukan kerana hebatnya kesetiaan kita terhadap perjuangan parti,” katanya dan menambah ahli sewajarnya memberi sokongan kuat kepada barisan kepimpinan yang ada dan bukannya mempertikaikan kepimpinan tersebut.

Menurutnya ahli harus sedar barisan kepimpinan yang ada adalah barisan yang meneruskan hala tuju parti.

“Barisan kepimpinan inilah yang terus berusaha mempastikan kehebatan serta kekuatan parti berterusan dan berpanjangan,” katanya lagi.

Sapawi yang juga ketua Umno bahagian Sipitang berkata kualiti seseorang ahli itu juga yang mengajak mereka untuk kurang berpolitik.

Sebaliknya, katanya, ahli tersebut akan lebih fokus kepada usaha memastikan rakyat terus yakin dan percaya kepada parti.

“Umno kukuh sehingga sekarang kerana kita mengutamakan perjuangaan parti dan inilah kualiti yang kita miliki,” katanya lagi.

Share |