MESRA…Sapawi bersalaman dengan pimpinan Umno Tenom yang menghadiri krusus tersebut.
MEMBAKUT: Anggota Umno dinasihatkan agar berwaspada dengan `askar upahan’ pihak tertentu yang berusaha untuk menghancurkan parti.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata `askar upahan’ ini berusaha untuk mempengaruhi anggota parti dengan menyebarkan cerita-cerita atau dakyah demi kepentingan pihak tertentu.
“Mereka ini menyebarkan pelbagai dakyah dan sentiasa berusaha melaga-lagakan pemimpin...matlamat mereka cuma satu mahu pihak tertentu yang mengupah mereka itu diberikan sokongan,” katanya pada kursus Pemantapan dan Tranfomasi Organisasi Umno Bahagian Tenom di sini kelmarin.
Sapawi memberitahu terdapat anggota parti terpengaruh dengan usaha `askar upahan’ itu dan anggota yang terpengaruh itu turut sama menentang pemimpin yang ada.
Katanya tindakan tersebut ternyata membelakangkan perjuangan Umno yang mahukan agar anggota setia kepada pemimpin dan Umno.
“Kita perlu waspada dengan `askar upahan’ ini dan caranya ialah kita memahami perjuangan Umno.
“Antara perjuangan Umno yang perlu kita fahami ialah setia kepada barisan kepimpinan dan kita terus memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan yang ada,” katanya lagi.
Beliau berkata tindakan menyokong usaha melaga-lagakan pemimpin yang ada hanya akan menghancurkan Umno.
Katanya Umno adalah parti yang lebih mengutamakan kualiti perjuangan anggotanya termasuklah pada peringkat akar umbi.
“Keperkasaan dan kehebatan Umno perlu diteruskan dan kita tidak harus menyokong mereka yang meletakkan kepentingan diri berbanding kepentingan parti,” katanya lagi.