Monday, July 18, 2011

USIA Sipitang



PERWAKILAN...Sebahgaian daripada perwakilan yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Usia Bahagian Sipitang, baru-baru ini.
CAWANGAN BARU....Sapawi menerima borang keahlian cawangan Usia Kampung Bebangkong yang baru ditubuhkan daripada ketua cawangannya, Adlee Awang.
ALBUM PERSIDANGAN...Sapawi dan ahli jawatankuasa Usia Sipitang merakamkan gambar kenangan bersama perwakilan.

SIPITANG:Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) memerlukan medium dan pendekatan baru untuk melebarkan gerakan secara menyeluruh agar kesinambungan perjuangan Usia tidak putus ditengah jalan.


Ahli parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata keadaan masyarakat dahulu dengan masyarakat masa kini sudah jauh berbeza. Oleh sebab itu Usia bertanggungjawab dan diberikan mandat untuk menjana dan melebarkan gerakan ini kepada generasi baru.


Katanya, usaha untuk membawa dan menarik para belia menyertai Usia amat diperlukan kerana generasi muda hari ini sudah mempunyai ilmu pengetahuan baru dan naluri masa kini yang dilihat mampu menarik rakan belia mereka.


“Belia Usia juga perlu digerakkan, sebab itu saya pernah cadangkan supaya kita dapat membentuk Briged Belia Usia (BBU). Melalui briged ini kita akan dapat melatih mereka dengan pakaian seragamnya dan ianya tidak perlu ramai yang penting mereka boleh mengendalikan program di kalangan belia seperti sukan, menganjurkan program-program usahawan muda dan sebagainya.


“Kita perlu hidupkan belia-belia kita ini sebab pendekatan dakwah hari ini berbeza dengan dulu. Sekarang orang tidak mahu dengar lagi setakat ceramah tetapi mereka mahu mendengar dan juga melihat dari seri pendekatan baru dalam konteks media baru dan tuntutan semasa,” katanya.


Disamping itu katanya Usia perlu lebih terbuka supaya para belia minat menyertainya sebagai pewaris perjuangan Usia


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Usia Bahagian Sipitang, di Dewan Perpustakaan Sipitang, baru-baru ini.


Sapawi yang juga Ketua Usia Bahgaian Sipitang itu berkata kemajuan teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sebagai salah satu medium dakwah yang berkesan khususnya kepada generasi muda hari ini dan yang akan datang.


“Dalam revolusi teknologi baru dengan alat perhubungan yang memberi kemudahan kepada kita. Dan kalau alat kemudahan yang ada itu kita gembelingkan dengan anak muda kita ini sudah semesti ianya ia boleh digunakan untuk menyemarakkan lagi dakwah sebab dakwah ini ialah suatu usaha untuk menyampaikan kebaikan yang bermula dengan salam, senyuman dan kata-kata yang baik, dengan adab dan sopan. Semua itu berkait rapat dengan konsep akhlak dan peribadi manusia,” katanya sambil menambah gerakan-gerakan Agama yang berkembang di dunia masa kini terjana melalui media baru.


Beliau menambah dalam konteks dakwah program Usia perlu diperbanyakkan contohnya melalui kaum ibu dan wanita dan bekerjasama dengan mana-mana persatuan untuk ziarah keluarga Usia.


“Kita (Usia Sipitang) mempunyail 1,200 ahli, daripada 19 cawangan yang berdaftar dan satu lagi cawangan baru ditubuhkan pada hari ini iaitu Cawangan Kg Bebangkong.


“Kita mesti bermula dengan ahli kita sebab Rasulullah berdakwah bermula dengan keluarga terdekat. Pendekatan ini perlu kerana kita mahu membangunkan semangat Usia ini bagi kesinambungan perjuangan pertubuhan ini,” katanya.


Sapawi yang mempengerusikan mesyuarat itu juga memaklumkan Usia Sipitang telah merancang akan mengadakan lawatan ke Hospital Sipitang dan ziarah ke surau dan masjid pada bulan Ramadan akan datang.


“Pihak kita akan melaksanakan program ini bersama jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan lain seperti, JHEAINS Sipitang, Umno, BN Sipitang, Pejabat Parlimen dan yang berkaitan,” katanya sambil menyeru agar umat Islam di sini menyemarakkan kehadiran Ramadan dengan mengimarahkan setiap masjid dan surau.-Oleh Abu Bakar Esah




Share |