Wednesday, February 22, 2012

Anugerah Kecemerlangan Pelajar SRU, UPSR dan PMR Sipitang


MERIAH…Sebahagian Guru Besar dan guru-guru bersama ibubapa pelajar yang menghadiri majlis tersebut.
CERIA…Sebahagian ribuan pelajar sekolah rendah yang membanjiri dewan serbaguna Sipitang di majlis tersebut.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM1,000 kepada Syamimi Amani Hanuar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR 2011.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada YDP Majlis Guru-Guru Besar Sipitang Asli Mokhsin.
Kamarlin diperhatikan oleh Razak menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah wang tunai kepada salah seorang ibubapa pelajar cemerlang di majlis tersebut.

SIPITANG: Kemajuan dan kemunduran sesebuah negara bergantung sepenuhnya kepada pencapaian rakyat yang berilmu.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ilmu menjadi asas penentu kepada aras pembangunan dan juga kemakmuran negara.

“Hakikatnya inilah yang menjadikan pembangunan pendidikan negara menjadi agenda utama kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada majlis anugerah kecemerlangan Sekolah Rendah Ugama, Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah bagi tahun 2011 peringkat daerah di sini kelmarin.

Beliau berkata jika rakyat tidak mampu mencapai pendidikan tertinggi sudah tentu negara berada dalam keadaan yang mudah diganggugugat, dipergunakan dan akhirnya mundur serta berada pada tahap kemiskinan.

Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Sipitang dengan kerjsama Umno Sipitang turut dihadiri oleh Adun Lumadan merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Adun Sindumin Ahmad Bujang, Ketua Sektor Pengurusan Jabatan Pendidikan Sabah Dr. Kassim Ibrahim, Pegawai Pendidikan Sipitang Razak Karim, Penolong Pegawai Daerah Sipitang Arifin Rukut dan Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad.

Sapawi berkata kepentingan ilmu sememangnya tidak mampu untuk disangkal “dan agama kita sendiri meminta agar kita berusaha mencapai pendidikan yang tertinggi.”

Menurutnya saranan satu graduan satu rumah oleh Kerajaan BN bukanlah satu perkara yang retorik tetapi ianya merupakan dorongan dan sokongan daripada kerajaan agar rakyat mengutamakan pendidikan.

“Jika kita mahukan kemajuan dan kemakmuran maka pendidikan haruslah dijadikan sebagai agenda utama kerana pendidikan atau ilmulah yang akan menentukan perubahan sebuah keluarga dan juga negara,” katanya lagi.

Beliau memberitahu Kerajaan BN telah membelanjakan jumlah yang besar untuk memastikan kemajuan dan pembangunan pendidikan di negara ini tidak ketinggalan.

Katanya ianya juga merangkumi kemudahan pembelajaran dan ini meliputi semua pendidikan tidak hanya pendidikan akademik tetapi juga pendidikan agama.

“Tumpuan juga tidak hanya di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan juga adalah berterusan,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu golongan pelajar di Parlimen Sipitang turut dijanjikan `hadiah’ sebagai dorongan dan sokongan kepada mereka untuk berusaha mencapai kejayaan serta kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kita menyediakan `hadiah’ kepada pelajar yang cemerlang kerana kita mahu golongan pelajar hari ini dan pada masa akan datang akan mencapai kecemerlangan serta kejayaan dalam pendidikan,” katanya lagi.

Di majlis tersebut juga Sapawi telah menunaikan janji menyampaikan hadiah wang tunai RM1,000 kepada 10 orang pelajar PMR yang mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran manakala bagi sembilan pelajar UPSR yang mendapat 5A dan 22 pelajar PMR memperolehi keputusan 5A keatas masing-masing mendapat RM500.

Seramai 23 pelajar UPSR yang memperolehi keputusan 4A telah menerima wang tunai RM100 dan bagi 15 pelajar cemerlang sekolah agama pula telah menerima RM500 .

Sapawi juga telah menyampaikan bantuan kewangan RM3,000 kepada 32 PIBG terdiri daripada sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah menengah, Majlis Guru Besar, Majlis Pengetua dan Jabatan Pelajaran manakala dalam masa yang sama juga Adun Sindumin Ahmad Bujang turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada lapan PIBG sekolah agama di daerah Sipitang.




Share |