Friday, February 17, 2012

Industri Hiliran Minyak Dan Gas Dijangka Jana Pendapatan Baru Negara





February 16, 2012

SIPITANG (Sabah), 16 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata industri hiliran minyak dan gas negara akan terus dimajukan kerana ia boleh menjana pendapatan negara yang lebih tinggi.

Sambil memberi contoh Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) Petronas, beliau berkata penghasilan baja urea itu mampu memberikan nilai tambah dua kali ganda bagi eksport negara.

"Jika kita banding dengan kalau kita mengeksport gas asli mentah, kita kehilangan nilai tambah," katanya kepada media selepas melaksanakan upacara pecah tanah bagi Projek Samur di sini Khamis.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Pengerusi Petronas Chemicals Group Bhd Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kira-kira 95 peratus daripada pengeluaran dari kilang tersebut bakal dieksport ke luar negara.

Katanya nilai eksport dari kilang yang akan menghasilkan 1.2 juta tan urea setahun itu dijangka mencecah AS$4.8 bilion setiap tahun.

Perdana Menteri berkata, mengikut matlamat Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), sektor minyak dan gas akan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar RM241 bilion setahun sehingga 2020.

Beliau berkata projek hiliran terbesar juga sedang cuba dilaksanakan di Pengerang, Johor dan dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Najib berkata usaha terancang di peringkat hiliran ini dilakukan kerana menyedari minyak dan gas merupakan sumber asli yang bakal pupus.

"Usaha juga sedang dijalankan Petronas bagi meningkatkan pengeluaran minyak mencecah, malah melebihi 50 peratus jika boleh," katanya.

Menurut Petronas, projek Samur ini bakal menjadikan Petronas Chemicals sebagai pengeluar baja kedua terbesar di Asia Tenggara pada 2015.

Projek Samur itu dijangka menggandakan kapasiti pengeluaran baja urea syarikat hiliran itu.

Projek Samur membabitkan tiga loji pengeluaran utama iaitu ammonia, urea dan pembutiran di dalam satu kompleks.

Kilang urea itu akan mengeluarkan 1.2 juta tan metrik setahun (MTPA) urea berbutir manakala kilang ammonia akan mengeluarkan 740,000 MTPA ammonia cecair.

Kini, Petronas Chemicals mengendalikan dua kilang urea - satu kilang urea 750,000 MTPA di Bintulu, Sarawak dan satu kilang urea 683,000 MTPA di Gurun, Kedah.



-- BERNAMA





Share |