Wednesday, February 1, 2012

Kerajaan Alu-Alukan Penubuhan Tribunal NCR | Berita Sabah




KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan cadangan menubuhkan tribunal atau suruhanjaya bagi menyelesaikan masalah melibatkan tanah adat di sini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menerima cadangan-cadangan bernas bagi memperkasakan sistem perundangan di negeri Sabah di samping mengutamakan kebajikan rakyat jelata.

“Kita sambut baik cadangan untuk menubuhkan tribunal bagi menyelesaikan isu-isu tanah adat di negeri ini memandangkan ia belum lagi diwujudkan.

“Seperti yang anda semua tahu, kerajaan negeri melaksanakan program perintis pemilikan tanah secara bersama yang memberi peluang kepada penduduk tiada tanah untuk memiliki sebidang tanah.

“Mereka kemudian akan dibantu dari segi pembangunan infrastruktur dan peluang perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup.

“Apa yang penting, bersetuju idea berkenaan mampu memberi penyelesaian terbaik terhadap isu-isu berkaitan tanah adat di negeri ini,” katanya ketika mempengerusikan Taklimat Pejabat Pembangunan Persekutuan (SDO) Negeri di Wisma Innoprise kelmarin.

Musa berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas cadangan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berhubung mengwujudkan tribunal tanah Hak Adat Pribumi (NCR) di Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan Malanjum itu yang bertujuan menyediakan alternatif kepada penduduk untuk menyelesaikan pertikaian berhubung tanah pribumi.



Share |