Wednesday, February 1, 2012

Perut Kembung Isi Barang Curi



KOTA KINABALU: Taktik seorang wanita yang pura-pura mengandung tetapi sebaliknya memasukkan barangan yang dicurinya dari sebuah pasaraya ke dalam ‘perut kembungnya’ terbongkar apabila perbuatannya itu berjaya disedari pengawal keselamatan di pasaraya terbabit minggu lepas.

Dalam kejadian di salah sebuah pasaraya di Jalan Pantai di sini kira-kira jam 10 malam itu, wanita terbabit berjaya ditahan bersama dua lagi rakannya kerana dipercayai terlibat mencuri sejumlah barangan di pasaraya itu.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata perbuatan wanita terbabit disedari pengawal keselamatan berkenaan yang hairan kerana barangan yang disimpan oleh suspek di dalam troli sebelum itu tiba-tiba lesap dan hanya membayar sejumlah kecil barang di kaunter pembayaran.

“Pengawal keselamatan yang mensyaki sesuatu kemudiannya bertindak menahan mangsa, bagaimanapun selepas itu muncul dua lelaki lain yang dipercayai rakan mangsa lalu memarahi tindakan pengawal keselamatan terbabit.

“Selepas itu, berlaku kekecohan di luar pasaraya itu, dan kebetulan sepasukan peronda yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela pergi ke tempat kejadian bagi melakukan pemeriksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin.

Menurutnya, pasukan peronda berkenaan kemudiannya bertindak memeriksa sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipercayai digunakan oleh ketiga-tiga suspek.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dibuat, pihak polis menemui sejumlah barangan runcit bernilai kira-kira RM2,000 yang dipercayai dicuri daripada pasaraya terbabit.

“Wanita yang berumur 29 tahun dan dua lelaki yang berumur 18 serta 52 tahun terbabit kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Share |