Friday, March 16, 2012

Penolong Pegawai Daerah Rentung Dalam Kereta



KOTA MARUDU: Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu ditemui rentung dalam kereta yang dinaikinya selepas kenderaan terbabit dipercayai terbakar di Kilometer 12, Talan Tandek-Kota Marudu kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi itu, mangsa Hilde Primus Peki @Hilde P Kayau, 43, ditemui rentung di tempat duduk pemandu kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.45 pagi.

“Sepasukan polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba di tempat kejadian didapati mangsa berada dalam kenderaan terbabit dan dalam keadaan hangus terbakar di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari arah pekan Kota Marudu menuju ke Pitas untuk pulang ke rumahnya dan dipercayai apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta mangsa terbakar,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Mohd Isa berkata, berdasarkan siasatan juga kenderaan yang dinaiki mangsa itu memang mengalami masalah dan pernah dua kali berlaku masalah pendawaian.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih menunggu laporan kejadian sebenar dari pihak forensik dan Jabatan Kimia bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Kenderaan terbabit disahkan adalah milik mangsa berdasarkan pengecaman daripada ahli keluarga mangsa dan setakat ini tiada unsur-unsur jenayah didapati.

“Setakat ini, polis juga mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara Pegawai Perhubungan Bomba Sabah, Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.09 pagi.

“Sepasukan bomba dengan sebuah jentera kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 4.08 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran pada jam 5 pagi,” katanya.

Tambahnya, sejurus selepas api berjaya dipadamkan didapati ada satu mayat yang telah rentung berada di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Proton Exora berkenaan.

“Pihak bomba kini masih menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya.

by WILLIE JUDE JUNAIDI,
March 16, 2012, Friday
Share |