Sunday, April 8, 2012

Gotong-Royong Di Padas Valley, Beaufort.





IKHLAS…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan set jersi dan bola kepada wakil beliawanis daripada kampung tersebut.



CERIA…Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama kumpulan belia daripada kampung tersebut.




SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan set jersi dan bola kepada salah seorang wakil belia di kampung tersebut.




GOTONG-ROYONG…Sapawi dan Kamarlin bersama penduduk kampung sedang membacuh simen untuk membina gelanggang serbaguna di Kampung tersebut.



MESRA…Sapawi berbual mesra dengan keluarga Jakim Kimin dan penduduk setempat ketika melawat kampung tersebut


BEAUFORT: Keindahan dan kebersihan sesebuah kampung adalah melambangkan semangat kerjasama yang ada dan dipupuk di kalangan masyarakat kampung tersebut.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata bagi melihat semangat kerjasama dan perpaduan sesebuah kampung ianya boleh dilihat menerusi suasana kampung tersebut.

“Semangat kerjasama itulah yang mewujudkan persefahaman dan perpaduan di kalangan penduduk kampung,” katanya pada majlis gotong royong bersama pemimpin di Kampung Padas Valley kelmarin.

Menurutnya masyarakat kampung yang memiliki semangat kerjasama itu sudah tentu menjalani kehidupan yang selesa, aman dan damai.

Katanya permuafakatan juga sudah tentu mudah diadakan dan ini membolehkan kampung tersebut terus maju dan membangun.

“Sikap kita mampu digambarkan menerusi suasana atau persekitaran di mana kita tinggal dan begitulah juga dengan penduduk kampung sendiri.

“Semangat kerjasama itu membolehkan kita membincangkan segala masalah dan menyelesaikannya dengan baik,” katanya dan menambah semangat itulah juga akan membolehkan pemimpin kampung berkenaan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Menurutnya perancangan bagi memajukan dan membangunkan kampung tidak akan berhadapan dengan masalah jika semangat kerjasama itu kukuh dan kental.

Sapawi memberitahu semangat kerjasama atau semangat kejiranan pada ketika ini semakin goyah di kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, katanya, penduduk di kawasan bandar semakin hilang semangat kerjasama dan juga semangat kejiranan.

“Peratus semangat kerjasama atau kejiranan di kalangan penduduk di bandar agak kecil dan agak mengecewakan,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mewujudkan semangat itu di kalangan penduduk bandar dan berusaha memperkukuhkan semangat tersebut kepada penduduk di kampung.

Menurutnya semangat kerjasama dan semangat kejiranan bukan sahaja perlu dipertingkatkan dan diperkukuhkan tetapi juga perlu dijadikan sebagai budaya kehidupan harian dan seterusnya dipastikan dapat diwariskan kepada generasi muda.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan kamarlin Ombi, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, dan Pengerusi Penaganjur Rafi Ghani.


Share |