Monday, May 7, 2012

Anugerah Kecemerlangan Pelajar SMPO II, Sipitang





TERTARIK…Sapawi sedang memerhatikan pelajar membuat demo di majlis tersebut.



TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Abdul Ghani menyampaikan anugerah pelajar cemerlang PMR 2011 kepada Asyraf Dzulkipli.



ANUGERAH…Sapawi diperhatikan oleh Abdul Ghani menyampaikan anugerah ‘Student Of The Year’ kepada Marsi Dewe Sofy Binti Enjuk



DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengetua SMPO II Abdul Ghani Mohd Ali



SOKONGAN…Sebahagian guru-guru dan dan ibubapa pelajar yang menghadiri majlis tersebut.

SIPITANG: Perancangan yang strategik diperlu oleh setiap sekolah dalam usaha mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata perancangan itu perlu memandangkan persaingan dan cabaran yang dihadapi ketika ini amat mencabar.

“Kepesatan kemajuan serta pembangunan pendidikan ketika ini memerlukan setiap sekolah harus ada perancangan yang strategik,” katanya pada anugerah kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar II di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengetua SMPO II Abdul Ghani Mohd Ali, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sarkawi Salim, Penolong kanan Pentadbiran Annie Sarwali dan Pengarah Majlis Belly Misak

Sapawi berkata antara perancangan itu termasuklah memastikan rasa minat pelajar berada pada tahap tinggi bagi memburu kejayaan dan juga kecemerlangan.

Katanya rasa minat pelajar harus tidak dimatikan menerusi perancangan yang mungkin membosankan.

“Jika keadaan ini berlaku sudah tentu semangat golongan pelajar untuk memburu kejayaan dan kecemerlangan akan terhapus,” katanya dan menambah pelajar yang bosan sudah tentu tidak bersemangat dan tidak mempunyai keazaman.

Bagaimanapun Sapawi berkata pelaksanaan perancangan itu memerlukan sokongan dan dokongan daripada ibu bapa.

Katanya peranan ibu bapa tetap utama sebagai pendorong ke arah membina semangat dan keazaman yang tinggi kepada pelajar.

“Tanggungjawab tidak harus diserahkan kepada guru semata-mata sebaliknya ibu bapa turut perlu tampil bagi membantu tanggungjawab tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata jika ibu bapa tampil memberikan sokongan dan dokongan sudah tentu perancangan yang hendak dilaksanakan atau diperkenalkan oleh pihak sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya kerajaan sendiri sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan prasarana di semua sekolah di negara ini.

“Kerajaan lakukan ini kerana mahu pembangunan dan kemajuan pendidikan negara seimbangkan dengan kepesatan kemajuan dan pembangunan semasa,” katanya lagi.
Share |