Sunday, September 23, 2012

Program Tranformasi Ekonomi Ushawan Mara-Petronas

DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Timbalan Pengarah Mara Sabah Zulkarnian Zakaria di majlis tersebut. 

SIPITANG: Peluang dan potensi dalam projek Petronas dan Mara mampu diterjemahkan oleh usahawan tempatan menerusi program Transformasi Ekonomi. 
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata program tersebut menjadi landasan berinteraksi dan mewujudkan jaringan kerjasama antara kerajaan dengan usahawan.
“Pelan transformasi kerajaan dan pelan transfomasi ekonomi yang dilaksanakan mendorong Mara melakukan pelbagai transfomasi selari dengan kehendak dan keperluan kontraktor bumiputera ketika ini,” katanya pada perasmian Program Transfomasi Ekonomi Usahawan Mara-Petronas di di sini kelmarin. 
Beliau berkata usahawan Mara memainkan peranan sebagai pemacu bagi melahirkan dan memperkasakan usahawan sedia ada. 
Katanya ianya akan direalisasikan melalui pendekatan bersepadu dengan tumpuan kepada pembangunan usahawan, pewujudkan peluang perniagaan, bantuan pemasaran, penjenamaan dan penyediaan modal. Menurutnya bagi memperkukuhkan lagi transfomasi berkenaan, pelbagai latihan industri juga akan disediakan. 
Beliau memberitahu Mara negeri ini telah mengeluarkan pembiayaan perniagaan sebanyak RM69.2 juta dengan bilangan penerima seramai 851 orang tahun lalu manakala sehinggga Ogos tahun ini, sebanyk RM80.6 juta telah dikeluarkan. 
Sambil berharap peserta program itu akan mempergunakan ilmu yang diperolehi, Sapawi berharap ia juga wajar dikembangkan kepada rakan-rakan mereka yang lain. 
Lebih 200 peserta menyertai kursus sehari itu. Turut hadir, Timbalan Pengarah Mara Negeri Sabah, Zulkarnain Zakaria. 
Dalam pada itu Sapawi memberitahu satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi melakukan penjenamaan semula `Satay Sipitang.’ 
Katanya jawatankuasa itu akan melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa agensi yang berkaitan. 
“Saya sudah membuat perjumpaan dengan Naib Canselor UMS dan beliau bersetuju mengenai cadangan ini bagi memastikan perancangan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya lagi. 
Keenakan Sate Sipitang terbukti apabila Esplanade Sipitang yang menjadi lokasi utama penjualan Sate menjadi tempat persinggahan masyarakat dari Sarawak, Brunei, kota kinabalu, tenom, keningau dan sebagainya
Share |