Saturday, September 15, 2012

Sambutan Hari Malaysia 16 September Ini Di Esplanade Sipitang



SEMANGAT…Sapawi bersama Adun Sindumin Ahmad Bujang dan Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat serta AJK sambutan merdeka Sipitang sedang memperagakan baju rasmi majlis tersebut.

SIPITANG: Esplande Sipitang bakal dibanjiri lebih 10,000 orang pada 16 September ini bagi menyambut Hari Kemerdekaan peringkat daerah.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur berkata tarikh sambutan itu juga adalah sambutan Hari Malaysia.

“Ia merupakan sambutan yang bermakna kerana kita menyambut dua peringatan besar negara iaitu Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Sapawi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat sambutan di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Sipitang.

“Kita berharap orang ramai khususnya penduduk Sipitang akan turun beramai-ramai dan bersama-sama menyambut hari kebesaran negara,” katanya.

Katanya pelbagai acara telah dirangka bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut dan kira-kira 500 penunggang motosikal yang membawa Jalur Gemilang akan turut memeriahkan sambutan itu.

Menurutnya penunggang motosikal akan mengibarkan Jalur Gemilang daripada DUN Lumadan dan DUN Sindumin.

Katanya dua pasukan ini akan bertemu di Esplande Sipitang di mana ianya menjadi pusat kepada sambutan tersebut.

Beliau memberitahu acara sambutan akan bermula dari pagi dan akan berakhir pada tengah malam 16 September itu nanti.

Acara lain termasuklah perarakan perbarisan di mana ianya akan turut disertai oleh pelajar daripada beberapa buah sekolah di Sipitang, jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan Ngo’s dan persatuan serta pasukan beruniform yang ada di Sipitang.

Sambutan akan turut dimeriahkan dengan pertunjukkan layang-layang `kikik’ daripada Sipitang, Limbang dan juga Bintulu.

Pada sebelah malam pula, perarakan tanglung akan menceriakan sambutan tersebut di mana lebih 600 peserta akan menyertai perarakan tersebut, kata Sapawi dan menambah pertandingan nyanyian patriotik turut diadakan pada sebelah malam serta pertunjukkan bunga api.

Artis tempatan pengacara terkenal Sipitang Maidun Sisak @ Pham akan menjadi pengacara pada majlis tersebut dan persembahan daripada artis-artis tempatan dan Jabatan Penerangan Sabah ‘Pentarama’ turut diadakan.

“Kita berharap orang ramai akan hadir beramai-ramai dan bersma-sama menyambut Hari Kemerdekaan dan juga Hari Malaysia,” katanya lagi.
Share |