Monday, September 24, 2012

Solat Hajat Perdana SMK Gadong, Beaufort.

 DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menerima cenderakenagan daripada Penolong Kanan SMK Gadong Mahmud Juriman di majlis tersebut.
  HAJAT…Sapawi bersama ibubapa dan pelajar mengaminkan doa sejurus solat hajat di majlis tersebut.
 RESTU…Sapawi dan Kamarlin bersalaman dengan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di majlis tersebut.


 MOTIVASI…Penceramah Motivasi jemputan Ustaz Kaharuddin Yusopala daripada SMK Majakir, Papar
BEAUFORT: Usaha gigih yang diberikan oleh pihak guru tidak akan mampu menjamin kejayaan golongan pelajar jika ibu bapa bersikap tidak peduli.
            Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sokongan ibu bapa penting bagi memastikan keazaman dan kesungguhan pelajar berada pada tahap yang tinggi.
            "Pihak guru sudah tentu telah berusaha gigih untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar namun sokongan ibu bapa tetap penting dalam memastikan keazaman, keyakinan dan kesungguhan pelajar berada pada tahap terbaik," katanya pada program solat hajat perdana untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sekolah Rendah Ugama (SRU) Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong dekat sini kelmarin.
Majlis yang disertai 400 pelajar daripada Zon Gadong turut dihadiri oleh Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Penolong kanan SMK Gadong  Mahmud Juriman dan Yang Dipertua PIBG SMK Gadong Roslan Muharam.Sapawi memberitahu ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan pelajar dan sudah tentu sokongan mereka amat diharapkan.
Katanya berada di luar bandar bukanlah alasan untuk ibu bapa berfikir bahawa anak-anak mereka tidak mampu bersaing dengan pelajar di bandar dalam bidang pendidikan.
Menurutnya sudah banyak bukti bahawa pelajar di luar bandar mampu mencapai keputusan yang terbaik berbanding dengan pelajar yang berada di bandar.
            "Kejayaan mereka sebenarnya bukan hanya kerana bimbingan daripada pihak guru tetapi mendapat sokongan kuat daripada ibu bapa," katanya dan menambah semangat pelajar tidak akan meningkat jika ibu bapa bersikap sambil lewa atau tidak kisah.
            Beliau memberitahu kejayaan pelajar bukan sahaja dibanggakan oleh pihak guru atau sekolah tetapi ianya juga adalah kebanggaan kepada ibu bapa sendiri.
            Dalam pada itu Sapawi juga menasihatkan agar golongan pelajar berusaha mencatatkan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan yang bakal diduduki.
            Katanya kejayaan yang dicatatkan oleh pelajar merupakan hadiah terbaik kepada ibu bapa yang sentiasa mengharapkan mereka berjaya dan pihak guru yang tidak pernah berputus asa untuk memberikan bimbingan.
            Pada majlis itu Sapawi turut mengumumkan bahawa ganjaran atau hadiah akan diberikan oleh Parlimen Sipitang kepada mana-mana pelajar yang berjaya mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan SRU, PMR, SPM dan STPM.


Share |