Friday, March 11, 2016

Berita Perbahasan Parlimen P.178 Sipitang



Sapawi bidas pihak perlekeh kepimpinan Najib

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad membidas perbuatan pihak tertentu menidakkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sambil menyifatkan deklarasi yang dibuat sesuatu yang memalukan.

Berucap membahas usul menyokong Titah Diraja di persidangan Dewan Rakyat kelmarin, beliau berkata Perdana Menteri telah melakukan banyak usaha ke arah memakmurkan negara serta mensejahterakan rakyat.

"Apakah mereka sudah hilang pertimbangan akal, atau dijangkiti `alzheimer politik', sehingga sanggup berfantasi dan membuat deklarasi, hanya kerana tidak mahu menerima realiti.

"Perbuatan mengadakan deklarasi bersekongkol dengan mereka yang pernah menjadi seteru politik, adalah sesuatu yang memalukan," katanya.

Sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keberhasilan agenda pembangunan, khususnya Dasar Trasformasi Kerajaan, Sapawi berkata kejayaan itu tidak semudah dicapai tanpa komitmen tinggi pimpinan kerajaan.

Katanya, Malaysia di bawah pimpinan Najib berjaya mengharungi jalan penuh ranjau  di tengah pergolakan dunia yang tidak menentu akibat turun-naik pasaran harga minyak, pasang-surut politik antara wilayah, serta ancaman keselamatan militan dan ekstremis di serata benua.

Beliau berkata ekonomi Malaysia terus berkembang mekar dan berada pada kedudukan teguh dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) mencatat peningkatan, bukan pada kedudukaan tercorot seperti persepsi pihak tertentu.

"Malaysia berjaya dan mampu bertahan lantas kekuatan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai pengemudi layar, yang punya kekuatan tersendiri mengharung cabaran membadai, sehinggakan negara terus diiktiraf dunia dalam pelbagai aspek," katanya.

Menurutnya, di bawah pimpinan Najib, Malaysia disanjung dunia dan ia terbukti menerusi pembentukan Komuniti Asean ketika Malaysia menjadi pengerusi Sidang Kemuncak Asean pada 2015.

"Di pentas Asean, kita berjaya membawa pemimpin besar dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India ke Malaysia, yang membuktikan penghormatan antarabangsa terhadap kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi Asean Malaysia.

"Pada 4 Februari lepas, Malaysia menyertai 11 negara lain menandatangani Per­janjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), iaitu pakatan perdagangan yang dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan yang lebih bebas," katanya.

Selain Malaysia, turut menjadi anggota TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Sapawi berkata pertumbuhan dala negara terhasil daripada perancangan yang diatur kerajaan, termasuk menerusi penubuhan koridor-koridor pembangunan untuk menyeimbangkan pembangunan antara wilayah.
Koridor ekonomi tersebut termasuk Iskandar Malaysia di Johor Selatan (IRDA); Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER); Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER); Koridor Pembangunan Sabah (SDC); dan Koridor Sarawak Bagi Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE).

"Penubuhan Koridor-Koridor Pertumbuhan Ekonomi ini membuktikan komitmen kerajaan untuk menggalakkan perdagangan bebas dan perniagaan, bagi memajukan Malaysia.

"Bagi negeri Sabah sahaja, koridor-koridor pembangunan itu dibahagikan mengikut sub-sektor hab yang mana lebih fokus, sekali gus memudahkan pelabur," katanya.

Secara keseluruhan, katanya, ekonomi Malaysia terus mengukuh walaupun ada pihak meragui dan tidak meyakininya lantaran perang persepsi dan psikologi yang dijaja.

Di sebalik pencapaian itu, kata Sapawi, masih ada pihak tertentu cuba menyuntik persepsi negatif, semata-mata untuk menidakkan kepimpinan yang sudah dinamik.

Katanya, pihak berkenaan cuba membawa gambaran kebencian serta menghalang kelangsungan dan survival negara, termasuk dari segi ekonomi dan politik serta keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

ends

Projek Pan-Borneo jajaran Sabah wajar bermula di Sipitang

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran melihat semula pelaksanaan fasa awal projek lebuh raya Pan-Borneo bagi jajaran Sabah, dengan mengutamakan kawasan titik pertemuan di sempadan Sabah-Sarawak.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad, berkata projek lebuh raya itu yang meliputi jarak 2,239 kilometer dengan anggaran kos RM27 bilion, amat penting bagi pembangunan di wilayah Borneo.

Sehubungan itu, katanya, projek berkenaan bagi jajaran Sabah wajar dimulakan di daerah Sipitang di mana letaknya Bandar Sahabat, iaitu Sindumin-Merapok, yang menjadi titik pertemuan antara kedua-dua negeri.

"Kita berharap Kementerian Kerjaraya melihat semula pelaksanan fasa-fasa awal pakej lebuh raya tersebut, untuk menentukan kesesuaian dan logika, sambil meletakkan keutamaan atas kepentingan ramai.

"Saya merayu dan berharap agar antara pakej awal itu dimulakan di Sipitang, bermula di pekan Sindumin mengunjur sehingga ke daerah Beaufort sejauh kira-kira 65 kilometer, atas kedudukan daerah kami sebagai pintu masuk utama di sempadan.

"Lebih penting, daerah Sipitang kini pesat membangun dengan pelbagai industri berat termasuk sebagai hab minyak dan gas, yang memerlukan rangkaian jalan raya terbaik, demi kemudahan kepada pelabur dan pelancong, peniaga dan usahawan, selain untuk kemudahan orang kampung, petani dan nelayan," katanya.

Berucap membahas usul menyokong Titah Diraja di Dewan Rakyat, Sapawi berkata ada laporan menyebut bahawa tiga pakej awal projek berkenaan tidak membabitkan daerah Sipitang, sebaliknya di tempat paling jauh dari titik sempadan.

Tiga fasa awal berkenaan dikatakan dilaksana di Jalan Donggongon-Papar Spur, Jalan Tawau ke Semporna dan Jalan Lahad Datu Bypass.

Dalam pada itu, beliau mengulangi rayuan kepada kerajaan agar memberi perhatian serius cadangan menaik-taraf Jalan Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia untuk dilaksana sama ada secara berpakej, atau apa jua mekanisme bersesuaian.

Selain itu, beliau memohon agar Jalan Mintulud-Bangkalalak yang pernah disurakan sebelum ini turut diberi pertimbangan kerana jalan tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi penduduk kampung.

Mengenai pembangunan pendidikan, beliau menyarankan agar bangunan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sipitang dinaik taraf, memandangkan keadaannya yang daif pada masa ini.

"Ia perlu diberi penekanan dan keutamaan memandangkan PPD merupakan `tangki besar' yang memainkan peranan ke arah pembangunan pendidikan secara keseluruhan," katanya.

Selain itu, belia meminta supaya Pusat Giat Mara sedia ada di Sipitang dinaik taraf bagi menampung keperluan masa depan dengan menyusun kursus-kursus bersesuaian keperluan industri, misalnya kejuruteraan komputer dan bidang automatif.

Sapawi menyarankan agar Mara melalui agensinya seperti UniKL membangunkan pusat latihan di Sipitang bagi menyediakan keperluan sumber modal insan dalam kalangan anak-anak tempatan.

Mengenai kemudahan jalur lebar, Sapawi meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memperbanyakkan menara pemancar, Kampung Tanpa Wayar dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan seumpamanya.

Katanya, bagi kawasan Sipitang, masih banyak kawasan tidak diliputi rangkaian telekomunikasi, sekali gus menyukarkan penduduk, terutama di kawasan terpencil seperti Long Miau, Meligan, Iburu, Kelangsat dan Solob.

"Selain keperluan membina stesen pemancar di kawasan berkenaan, kemudahan seperti PI1M dicadang diwujudkan di perkampungan padat penduduk seperti di Kg Lingkungan, Padas Damit, Sindumin dan Lumadan, sebagai tambahan kepada dua kemudahan yang ada sekarang di Kg Lubuk dan Lawa, Gadong," katanya.

Dalam pada itu, Sapawi berkata lebih banyak peruntukan diperlukan untuk membangunkan Sabah dan Sarawak memandangkan keadaan geografi serta topografi kedua-dua negeri berkenaan.

"Dengan hakikat bahawa kedua-dua negeri ini yang begitu besar saiznya, maka tentunya juga cabaran bertambah besar, dan peruntukan diperlukan juga diharap menjadi lebih besar lagi.

"Begitupun, kita yakin sungguh bahawa Sabah dan Sarawak tidak akan berada di pinggiran lagi, kerana kita melihat kesungguhan kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah," katanya.

Sehubungan itu, Sapawi menegaskan pendirian Sabah dam Sarawak berdiri teguh bersama-sama pimpinan kerajaan mengharung samudera perjuangan di atas bahtera Malaysia, di bawah kemudi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

ends
Share |