Wednesday, February 1, 2012

Ayah Hantar Anak Ke Hospital, Rumah Musnah Terbakar | Berita Sabah



PENAMPANG: Dua keluarga yang yang tinggal di sebuah rumah papan dua tingkat di Kampung Nabangkung, Kobusak, dekat sini sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka itu musnah dalam kebakaran kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, rumah milik Justin Banot, 48, musnah sama sekali tanpa ada apa-apa barangan yang mampu diselamatkan disebabkan keadaan api yang merebak dengan cepat.

“Ketika kejadian saya tidak berada di rumah kerana menghantar anak saya yang sakit ke hospital, hanya tiga orang anak saya yang berumur antara dua hingga 10 tahun berada di situ bersama satu lagi keluarga yang menyewa di rumah saya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada salah seorang anak saya yang memberitahu bahawa rumah kami telah terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.

Menurutnya, sejurus selepas menerima panggilan telefon itu, dia bergegas pulang ke rumah dan apabila sampai dia hanya mampu melihat rumahnya musnah terbakar.

“Ketika saya tiba, saya nampak api begitu marak sekali tetapi saya bersyukur kerana kesemua anak saya terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, begitu juga dengan sepasang suami isteri yang menyewa di situ,” katanya sambil menambah kerugian yang dialaminya akibat kebakaran itu ialah sebanyak RM60,000.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.18 tengah hari.

“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 12.23 tengah hari dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 12.40 tengah hari,” kata jurucakapnya.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku manakala punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Share |