CERIA…Sapawi dan Kamarlin bersama tetamu jemputan serta penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.
MANTAP…Ahli panel forum dipengerusikan oleh Samsuri Ghazali (tengah) dan Bungsu Aziz Jafar (kanan) dan Sharil.
MERIAH…Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama ahli panel Forum dan AJK Pelaksana majlis tersebut.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena majlis tersebut.
DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada pengerusi penganjur Ahmad Pangiran Daud di majlis tersebut.
WESTON: Umat Islam disaran agar memberikan sokongan dan dokongan terhadap usaha memperkukuhkan dan mempermantapkan persefahaman serta perpaduan rakyat.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata persefahaman dan perpaduan rakyat haruslah bersifat berpanjangan bagi memastikan keharmonian serta kemakmuran terus dapat dinikmati oleh rakyat.
“Ketika ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian yang mencabar,” katanya pada forum ehwal Islam sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Iman di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Masjid Nurul Iman Weston Ahmad Pengiran Daud
Sapawi berkata tanpa adanya sokongan dan dokongan daripada umat Islam, segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan sudah tentu tidak akan berkesan.
Menurutnya ia juga akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan di kalangan umat Islam sendiri dan kesannya amat merugikan.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana Islam pada hari ini terus dipandang negatif…semua ini adalah disebabkan segala usaha yang dilakukan oleh musuh Islam dapat mempengaruhi beberapa buah negara.
“Bagi menghalang usaha itu daripada terus berkembang, umat Islam perlu tampil bagi memberikan sokongan serta dokongan terhadap program-program yang bertujuan mempertahankan Islam,” katanya lagi.
Sapawi memberitahu kerjasama dan persefahaman yang diperlihatkan oleh umat Islam sudah tentu dapat menghadapi apa juga cabaran serta ujian yang mencabar.
Forum anjuran Yadim sabah tersebut dipengerusikan oleh Samsuri Ghazali Penolong Pengarah Jakim Sabah dan ahli panelnya terdiri daripada Bungsu Aziz Jafar Pensyarah Uitm dan Sharil daripada Instuitut Penguruan Gaya Sabah.