Sebahagian penerima baucer BR1M yang hadir di majlis tersebut
BANTUAN…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan replika baucer BR1M kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
BEAUFORT: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan dibawah RM3,000 bukan kerana pilihan raya semakin hampir.
Sebaliknya BR1M diberikan kepada rakyat bagi membuktikan bahawa ekonomi negara ini terus dan semakin berkembang, kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian BR1M di dewan Kampung Gadong dekat sini kelmarin.
“Usah terpedaya dengan pembangkang yang mengatakan BR1M dibuat kerana pilihan raya...pembangkang sengaja mencetuskan isu kerana mahu menutup mata rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh BN dalam memastikan ekonomi negara terus maju dan berkembang,” katanya.
Menurutnya ekonomi negara pada ketika ini berada pada paras yang membanggakan dan sekaligus pencapaian itu turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa ekonomi negara jatuh merosot.
Katanya penbangkang sengaja mencetuskan dan mewar-warkan isu itu kerana mahu menutup dakwaan mereka adalah salah.
“Pembangkang mahu mengalihkan pandangan rakyat kerana apa yang mereka dakwa salah sama sekali dan ia adalah penipuan...Kerajaan BN membuktikan bahawa ekonomi negara bukan hanya kukuh tetapi terus berkembang dan maju,” katanya lagi.
Beliau berkata rakyat harus melihat akan kesungguhan BN dalam memastikan ekonomi negara terus kukuh dan berkembang maju.
“Usah terpedaya dengan pembangkang yang sebenarnya terpukul dengan pemberian BR1M,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Tien, Ketua Daerah Beaufort Junli Yusuf, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin dan Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah serta seramai 533 orang menerima baucer BR1M bagi Fasa I, II dan III.