Thursday, March 8, 2012

Kastam pertingkat unit risikan dadah di KLIA



KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mempertingkatkan keupayaan unit risikan jabatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah termasuk menggunakan taktik menelan barangan larangan tersebut.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, usaha itu perlu dilaksanakan sejajar dengan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan taktik tersebut dilihat semakin menjadi-jadi.

“Kita mengesan beberapa kes penyeludupan dadah melalui KLIA menggunakan taktik menelan bahan larangan itu sejak bulan lalu.

“Oleh itu, kita akan memantapkan lagi unit risikan JKDM di KLIA bagi membendung aktiviti penyeludupan yang sukar dikesan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Zainul Abidin berkata, antara peranan unit risikan JKDM bagi membendung aktiviti penyeludupan dadah adalah dengan memantau orang ramai di KLIA dan membuat pemeriksaan terhadap individu disyaki penyeludup dadah.

Katanya, langkah itu tidak dilakukan secara sembarangan kerana anggota unit risikan JKDM mempunyai kemahiran mengenal pasti suspek yang tepat berdasarkan karakter individu semasa berada di KLIA.

Oleh ZULKIFLI MANZOR
Share |