MANTAP…Jeritan padu tiga pemimpin Musa dan Ahmad Maslan dan Sapawi yang menjayakan majlis Penerangan Perdana BN seluruh Sabah.
BUKAN untuk memperlihatkan keegoan tetapi kejayaan penganjuran Majlis Pernerangan Perdana Barisan Nasional pada enam zon di negeri ini, wajar untuk dibanggakan kerana ia memperlihatkan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Majlis Penerangan Perdana BN bertujuan untuk memperjelaskan segala isu-isu yang dihebahhebohkan oleh pembangkang kepada rakyat dan langkah membuka MPP BN kepada seluruh rakyat dengan tidak hanya menumpukan kepada ahli-ahli politik ternyata berbaloi.
Kupasan satu persatu dakyah dan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang bagi mengabui mata rakyat diperjelaskan dan bukan hanya memperjelaskan isu-isu tersebut tetapi rakyat termasuklah kakitangan awam diberikan peluang untuk melontarkan pandangan dan juga persoalan.
“Antara matlamat kita menganjurkan MPP BN ini adalah untuk membawa keluar rakyat daripada dipergunakan dan diperbodoh-bodohkan oleh pembangkang,” kata Ketua Biro Penerangan dan Publisiti BN Sabah Datuk Sapawi Ahmad ketika ditemui pada MPP BN di Sandakan kelmarin.
MPP BN di Sandakan adalah yang terakhir dengan melibatkan parti-parti komponen BN yang terdapat pada Zon Lima dan telah dirasmikan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman.
Program tersebut diadakan di Dewan Seri Libaran Sandakan dan disertai lebih 5,000 orang.
Sapawi memberitahu adalah menjadi tanggungjawab kepada semua parti komponen bagi memperjelaskan segala isu-isu yang dilontarkan oleh pembangkang.
Katanya cara yang digunakan oleh BN ialah mendekati rakyat dan memperjelaskan isu-isu tersebut.
“Kita tidak hanya menumpukan kepada anggota parti bagi memberikan penjelasan sebaliknya kita semua terlibat dan turun padang bagi mendekati rakyat.
“Inilah cara yang kita amalkan dan budaya kepada BN…pemimpin dan anggota parti pada semua peringkat turut bersama-sama mendekati rakyat…inilah tanggungjawab yang telah dimanahkan dan perlu dilaksanakan,” katanya lagi.
Menurutnya cara yang digunakan oleh BN agak berbeza dengan yang digunakan oleh pembangkang.
Katanya BN tidak menggunakan cara pembangkang yang lebih banyak menggunakan media elektronik seperti blog dan sebagainya bagi melontarkan pembohongan serta fitnah.
Menurutnya cara itu sedikit sebanyak mempengaruhi generasi muda dan perkara itu sememangnya disedari oleh BN.
“MPP BN adalah antara cara yang digunakan oleh BN bagi menangani pembohongan itu dan kerana itu kita membukanya kepada rakyat termasuklah generasi muda.
“Kita mahu mereka tahu apa yang ditulis dalam blog atau laman web pembangkang adalah pembohongan semata-mata,” katanya dan menambah BN tidak mahu generasi muda dipergunakan, diperalatkan dan diperbodoh-bodohkan.
Beliau berkata BN tidak mempergunakan, memperalatkan dan memperbodoh-bodohkan generasi muda.
Sebaliknya kita berusaha mengangkat generasi muda agar mereka mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang, katanya lagi.
“BN bukan pembangkang yang mempergunakan, memperalatkan dan memperbodohkan rakyat termasuklah generasi muda untuk kepentingan individu sebaliknya BN berusaha menggilap dan mengangkat generasi muda,” katanya lagi.
Sapawi memberitahu bukan hanya UMNO tetapi semua parti komponen BN akan terus memainkan peranan bagi memperjelaskan segala isu-isu yang dilontarkan itu.
Beliau menyifatkan program MPP BN yang dilaksanakan di 6 Zon melibatkan 25 parlimen di Sabah amat berjaya dan berkesan
Misi ini amat berjaya jika dilihat dengan sokongan padu kehadiran lebih 2,000 orang setiap Zon Parlimen diadakan terdiri daripada pimpinan dan ahli Umno dan kompenan BN, Pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, Persatuan Suku Kaum, Badan-bandan berkanun, NGO dan juga sukarelawan serta orang ramai
Program MPP yang pertama telah diadakan di Zon 1 dimana Kota Marudu menjadi tuan rumah dan seterunya di Zon 4 Keningau dan Zon 6 Tawau.
Acara tersebut terus dilaksanakan apabila Beaufort telah menjadi tuan rumah bagi Zon 3 dan seterusnya Sepanggar telah menjadi tuan rumah bagi Zon 2.
Program anjuran Exco Penerangan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Negeri ini dapat menjelaskan semua isu-isu semasa yang hangat ketika ini diperkatakan dan juga dasar-dasar kerajaan samada dalam bidang ekonomi,pendidikan dan politik serta yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.-Oleh Dzul Mohd Kassim.