Bismillah-Hir-Rahman-Nir-Rahim,
Assalamualaikum-wahramahtullahi-wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia
1. Mendahului ungkapan awal ucapan, mewakili rakyat jelata bersilang rupa, saya menjunjung kasih Titah Ucapan Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12, pada hari Isnin lepas, bersamaan 12 Mac 2012, di Dewan Yang Mulia ini.
2. Sebagai rakyat yang berlindung di bawah naungan payung Diraja, saya menyahut dengan penuh taat akan saranan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong, untuk semua pihak bersatu padu demi kepentingan negara, menghormati kedaulatan undang-undang dan mentaati keluhuran Perlembagaan.
3. Kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sekalian, marilah kita sama-sama panjatkan doa, menadah tangan memohon doa dan bersyukur, agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, yang bersemayam di singgahsana takhta, dilimpahkan kesejahteraan untuk terus menjadi payung negara, dan semoga negara tercinta kita ini terus makmur sejahtera, terhindar daripada segala bahaya bencana.
4. Demikian jua buat pemimpin kerajaan, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta seluruh anggota Jemaah Menteri, dipohonkan doa kami agar mereka terus dikurniakan taufik dan hidayah daripada Allah SWT, dalam rangka membawa kejayaan, keamanan dan kecemerlangan untuk rakyat 1Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah.
5. Sebelum berucap lanjut, dan mengetengahkan beberapa isu, saya mengambil kesempatan ini jua merakamkan penghargaan, sanjungan dan terima kasih, kepada Tuan Yang Dipertua kerana sudi memberi ruang dan peluang kepada saya, untuk sama-sama membahas menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 ini.
Daie Sipitang Kuan Biskita
Sidang Parlimen lambang kuasa
Hajat banyak mau dicerita
Mohon kiranya diberi masa
Tuan Yang Dipertua
6. Pertama-tama, saya ingin menzahirkan sanjungan kasih rakyat sekalian atas titah DYMM Yang di-Pertuan Agong, yang menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa mengukuhkan perpaduan serta memberi sokongan kepada agenda pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan.
7. Sesungguhnya, titah seruan tersebut hendaknya dijadikan pedoman dan iktibar oleh semua pihak, demi menentukan kemakmuran, kestabilan dan kemajuan negara kita, berkekalan selamanya.
8. Tidak syak lagi bahawa perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan yang tercipta pada hari ini, dan kesatuan yang mengikat sokongan menjadi pencetus kehebatan pembangunan Malaysia mutakhir ini, dalam mengatur langkah demi langkah, merentas sebuah perjalanan jauh, menuju status negara maju berpendapatan tinggi.
9. Sebagai rakyat Malaysia di bumi subur lagi bertuah ini, kita pasti berasa bangga dan tersanjung dengan pencapaian terhebat yang sudah dicapai, justeru pastinya menjadi hasrat dan impian kita bersama, untuk terus menggapai kejayaan di masa-masa hadapan, dan bukannya meruntuhkan ukiran istana kemajuan yang sudah terbina ini.
10. Lanjutan dari itu, wajarlah hendaknya bagi segenap lapisan rakyat, walau apapun fahaman dan ideologi, meskipun berbeza pendapat dan tafsiran, biar berlainan warna kulit dan bersilang budaya, untuk bersama-sama menolak sebarang unsur dan elemen perpecahan, baik yang muncul dari dalam atau datang didalangi dari luar negara.
11. Janganlah kita mudah terpedaya dengan hasutan dan terpengaruh dengan umpan-umpan pihak tertentu yang berkepentingan dan punya agenda tersembunyi, sehingga sanggup mengambil tindakan yang boleh menjejas atau menggugat kedaulatan negara, semata-mata untuk kepentingan dan survival politik yang tidak berkesudahan.
12. Bukankah lebih indah, cantik dan molek, jika tidak diperbesar-besarkan apa jua perbezaan, sebaliknya dirapatkan titik-titik persamaan.
13. Inilah benih-benih kemakmuran yang perlu disemai. Inilah yang harus jadi matlamat perjuangan, untuk membela untung nasib rakyat kita. Di sinilah perjuangan kita, di bumi sendiri. Ini perjuangan yang jauh lebih bermakna, daripada perjuangan nun jauh di Israel sana. Taburlah benih keikhlasan di bumi sendiri, pasti ia tumbuh mewangi sampai ke langit.
ISU NASIONAL
Tuan Yang Dipertua
14. Saya juga tertarik dengan petunjuk-petunjuk ekonomi dalam titah ucapan Diraja, dan ia merupakan refleksi dan cerminan kemajuan Malaysia pada hari ini.
15. Kadar pertumbuhan ekonomi 2011 pada kadar 5.1 peratus, jumlah dagangan yang bernilai hampir RM1.3 trilion, nilai pelaburan asing RM32.9 bilion, kutipan cukai langsung melebihi RM100 bilion dan kadar pengangguran yang rendah, membuktikan betapa pengurusan ekonomi kerajaan dan dasar serta program yang dilaksanakan adalah di landasan yang tepat dan betul.
16. Kejayaan demi kejayaan, dan pencapaian luar biasa ini tidak datang dalam sekelip mata, dan bukan dengan kuasa `Lampu Aladdin'. Sebaliknya ia terhasil daripada usaha berterusan sejak berdekad lamanya, perjuangan yang berkesinambungan, dan kemudian diperkasakan oleh kepimpinan hari ini.
17. Nampaknya negara kita melangkah lebih cepat mencapai transformasi, berbanding negara-negara membangun lain.
18. YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah mengetengahkan Bajet 2012 yang mengharum aromanya, manfaat dinikmati seluruh rakyat, dari warga di tengah kota besar hingga orang kampung jauh di desa, dari murid sekolah rendah di pelosok pedalaman hingga siswa-siswi di menara gading, semuanya mengukir senyum tanda bersyukur.
19. Apa yang diketengahkan oleh kerajaan adalah pancaran sebuah keikhlasan, dan lambang kehebatan pimpinan untuk mensejahterakan rakyat, serta memakmurkan negara. Gagasan 1Malaysia menjadi pemangkin kejayaan, menarik pelaburan, lantas rakyat akhirnya menuai hasil kemakmuran.
20. Model Baru Ekonomi (MBE) diperkenalkan untuk memacu ekonomi Malaysia. Pendekatannya berbeza berbanding pembaharuan yang dilaksanakan oleh negara-negara lain. Sehingga kini, ia sudah berjaya menarik pelaburan bernilai AS$60 bilion (kira-kira RM186 bilion) serta mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan. Hal ini turut menarik perhatian dunia, menerusi persidangan Apec di Honolulu, penghujung tahun lepas.
21. Berdasarkan petunjuk ekonomi akhir-akhir ini, maka kita yakin dan optimis bahawa matlamat menjadi Negara Maju Berpendapatan Tinggi menjelang tahun 2020 akan dapat dicapai, biarpun dalam tempoh yang cuma berbaki kira-kira lapan tahun lagi.
Tuan Yang Dipertua
22. Dalam titah ucapan Diraja turut disentuh mengenai peranan anggota perkhidmatan awam menjayakan agenda transformasi kerajaan.
23. Hal ini sudah pun dikupas dan dibahas oleh beberapa rakan Ahli Yang Berhormat sebelum ini, namun saya ingin menambah sedikit, memandangkan bahang mengenai skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) masih terasa hangatnya.
24. Tidak dinafikan betapa penting peranan penjawat awam, yang jumlahnya mencapai 1.3 juta orang, sebagai nadi penggerak dan penyampai segala agenda dan perancangan, dari kerajaan untuk rakyat, untuk memenuhi ekspetasi dan hasrat dari rakyat, untuk dikembalikan kepada rakyat yang telah memberi mandat.
25. Dalam konteks Sabah, kita rakamkan sanjungan budi kepada anggota perkhidmatan awam negeri terhadap komitmen tinggi mereka, setinggi Gunung Kinabalu, dalam melaksana serta menjayakan misi pembangunan kerajaan Barisan Nasional di negeri kami, Negeri Di Bawah Bayu.
26. Jalinan `perkongsian pintar dan bijaksana' anggota perkhidmatan awam di Sabah dengan kerajaan negeri, yang didokongi Barisan Nasional dan ditunjangi oleh Umno, telah membawa Sabah terus membangun, sehingga mencapai kemajuan yang sungguh luar biasa.
27. Realitasnya, perkhidmatan awam bukan semata-mata soal gaji dan imbuhan. Komitmen, kecekapan, keikhlasan, kejujuran umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna, maka hilanglah serinya, dan bukan lagi pelangi namanya.
28. Jalur pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan.
29. Oleh yang demikian, maka bersesuaianlah titah seruan Diraja, apabila menyatakan bahawa anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa mencari idea dan pendekatan baru, yang lebih kreatif dan inovatif, cekap, berintegriti serta berfikiran terbuka -- inilah sebenarnya jalur-jalur pelangi yang mengindahkan perkhidmatan awam yang cukup eksklusif sifatnya ini.
Tuan Yang Dipertua
30. Suara-suara nyaring agas-agas politik sememangnya sentiasa didengari, apalagi yang datang dari akar-umbi, asalkan saja membina sifatnya. Pemimpin kerajaan kerap turun padang untuk mendekati dan menyelami denyutan nadi rakyat, seterusnya memberi teladan kerana ia lebih berkesan daripada memberi penegasan.
31. Sebab itulah, di akhir-akhir ini, kerajaan telah melaksanakan banyak anjakan paradigma dalam berbagai hal. Sama ada disedari atau tidak oleh agas-agas politik, atau mereka sengaja menutup sebelah mata, kerajaan sudah pun membuat beberapa keputusan besar, yang menjurus kepada kebaikan sejagat demi kepentingan negara.
32. Antaranya termasuklah usaha penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambah baik sistem pilihan raya serta memansuhkan akta-akta yang dianggap menyekat kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
33. Satu perkara lagi, yang saya ingin rekodkan di Dewan Yang Mulia ini, ialah pendekatan kesederhanaan atau wassatiyyah yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri kita.
34. Sesungguhnya, pendekatan ini dapat menyumbang ke arah penyelesaian suatu pertikaian dan membawa kepada keamanan global, termasuk isu-isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa.
35. Biar apapun yang diperkatakan mengenai pendekatan ini, wasatiyyah atau kesederhanaan sememangnya sesuai diamalkan, tanpa mengira waktu, dalam semua kehidupan rakyat di negara kita ini.
36. Dalam konteks negeri Sabah, pendekatan kesederhanaan ini telahpun diadaptasi dan menjadi amalan sejak sekian lama, dan itulah yang menjadikan Sabah aman dan makmur, sehinggakan negeri kami diperakui oleh YAB Perdana Menteri sebagai `role model' prinsip 1Malaysia.
37. Biarpun dengan kepelbagaian agama, keanekaragaman budaya, keindahan bahasa dan keunikan kesukuan -- yang terbentuk daripada jalur kehidupan lebih 34 suku dengan lebih 50 dialek yang dipertuturkan, kami tetap hidup harmoni dan saling menghormati. Inilah sebenarnya lambang keharmonian sejati, dan kami berbangga menjadi `role model' dari segi roh kehidupan beragama dan bermasyarakat.
ISU SABAH
Tuan Yang Dipertua
38. Mewakili rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dari Negeri Di Bawah Bayu, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen dan sokongan berterusan untuk membawa kemajuan kepada negeri kami. Biarpun jauh di seberang Laut China Selatan, dan terkebelakang sedikit mencapai kemerdekaan, tetapi kami tidak rasa tersisih dalam mengejar pembangunan.
39. Di bawah pimpinan pragmatik YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, ekonomi Sabah hari ini berkembang pesat, dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5 peratus bagi tahun 2012.
40. Ia adalah rekod cemerlang, yang berterusan dan berkesinambungan sepanjang Umno menunjangi pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah.
41. Kecekapan pengurusan kerajaan negeri juga terbukti dengan sijil bersih yang dianugerahkan oleh Ketua Audit Negara selama 11 tahun berturut-turut. Dan saya yakin, berdasarkan kemajuan dan prestasi hari ini, rekod tersebut akan dapat terus dipertahankan. Insya-Allah.
42. Negeri Sabah juga mencapai penarafan "AAA" oleh RAM (Rating Services Berhad) selama tiga tahun berturut-turut kerana kedudukan fiskal negeri yang mantap, dengan lebihan yang berterusan dan mengumpul rizab yang kukuh.
43. Juga termaktub dalam rekod, jumlah rizab negeri yang berjumlah RM3 bilion, manakala hasil negeri diramal pada kadar RM4 bilion.
44. Saya juga ingin berkongsi kegembiraan mengenai Sijil ISO oleh Moody International, sebagai bukti pengurusan bajet yang efisien sepanjang tempoh tiga tahun berturut-turut di negeri Sabah.
45. Sementara rekod Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi pendapatan perkapita di Sabah, juga mencatatkan peningkatan daripada RM10,687 pada tahun 2005, melonjak kepada RM17,242 pada tahun 2010.
46. YAB Perdana Menteri, ketika kunjungan ke Sabah pada bulan Februari lepas dan merasmikan seminar mengenai Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah memberikan pujian atas pencapaian-pencapaian tersebut, dan meyakini bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, untuk terus membawa kemajuan kepada negeri Sabah.
47. Seperti yang diungkapkan oleh YAB Perdana Menteri, kejayaan tersebut menjadi realiti dan bukan lagi omongan, lantaran wujudnya hubungan kukuh antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri, sehingga membolehkan kemajuan dijelmakan di hadapan mata rakyat.
48. Bagi Bajet Negeri tahun ini pula, sejumlah RM4,048.28 juta disediakan, iaitu yang tertinggi dalam sejarah --- sebanyak RM881.87 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan RM1.5 bilion perbelanjaan mengurus dan sumbangan Kerajaan Persekutuan.
49. Ekonomi Sabah diramalkan terus bersinar, daripada pelbagai sumber. Salah satu daripada sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ialah pelancongan, di mana jumlah pelancong yang datang ke Sabah tahun lalu saja mencapai dua juta orang, dengan kadar peningkatan sebanyak 14.5 peratus.
50. Pembangunan negeri Sabah kini diperkasakan lagi menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang boleh saya simpulkan telah merentasi kehidupan seluruh segmen masyarakat, dan manfaatnya dinikmati secara menyeluruh.
51. Antara projek utama SDC ialah Pembangunan Benteng Laut Kota Kinabalu, Kluster Indusri Hiliran Minyak Sawit (Lahad Datu dan Sandakan), Taman Kekal Pengeluaran Makanan (Tawau), Agropolitan untuk keluarga miskin luar bandar (Kudat, Beluran, Keningau), Klusteri hiliran Petroleum dan gas (Kimanis dan Sipitang), hab pendidikan (Sandakan) serta industri penternakan dan kraftangan (Pedalaman).
52. Di sebalik kemakmuran itu, masih ada juga agas-agas politik yang memejamkan mata, memekakkan telinga, tidak mahu menerima realiti, sebaliknya melemparkan bermacam-macam tuduhan dan kritikan.
53. Dulu-dulu ungkapan "Sabah for Sabahan" dijaja ke sana-sini. Tapi kerana yang dijaja dulu itu tidak laku, kini agenda "Borneonisasi" pula dicanangkan dengan slogan baru "Ini kali lah" pula cuba dicucuk dalam pemikiran, untuk memburu kuasa, harap-harap umpan boleh mengena.
Mendayung sampan mudik kuala
Penat mendayung rehat bersila
Laungan pembangkang "Ini kali la"
Kalau berani "Kau tunggu saja la"
Apa diharap padi seberang
Belum masak berwarna perang
Apa diharap pada pembangkang
Banyak cakap, banyak temberang
54. Saya yakin dan percaya, majoriti rakyat Sabah tidak mudah digula-gulakan dengan slogan sedemikian. Kerana orang Sabah waras pemikiran, jauh wawasan, luas pandangan.
55. Agenda yang dicanangkan dan slogan yang dilaungkan itu nyata jelas tidak relevan lagi, kerana ia sekadar akan menyempitkan lagi pemikiran rakyat untuk bersifat kenegerian dan kedaerahan, sedangkan dalam dunia globalisasi kini, kita harus memandang jauh ke hadapan, melihat dunia yang luas.
56. Kita mahu pemimpin kita bukan lagi sekadar jaguh kampung, makan jagung di gelanggang kampung, tapi beraksi di pentas dunia. Terbukti sudah, kehebatan pemimpin Sabah beraksi di arena antarabangsa, YB Menteri Luar yang berasal dari Sabah -- suaranya bergema di serata dunia, duduk pula sebaris dengan tokoh-tokoh besar ternama dunia.
Ayam kampung makan jagung
Ayam bandar makan kacang
Kita mesti keluar kepompong
Jangan dengar fitnah pembangkang
57. Mungkin ada pihak-pihak tertentu mendalangi dari jauh dan berahi kuasa, untuk meniupkan sentimen sempit kenegerian, tapi politik "remote control" ini tidak mungkin mampu merubah haluan pelayaran bahtera Barisan Nasional, jauh sekali mengubah keadaan.
ISU TEMPATAN
(SIPITANG)
Tuan Yang Dipertua
58. Sukacita saya ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini, betapa Sipitang rasa bertuah kerana sekali lagi dikunjungi oleh YAB Perdana Menteri pada 16 Februari lepas, kali ini dengan membawa khabar gembira untuk kami, iaitu pelancaran projek mega berskala dunia, iaitu Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) dengan membabitkan pelaburan bernilai RM4.6 bilion.
59. Dilaksanakan oleh Petronas Chemicals Group (PCG), Samur yang merangkumkan tiga loji pengeluaran utama - ammonia, urea dan pembutiran - dalam satu kompleks, bakal mentransformasi pembangunan Sipitang apabila beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2015 nanti.
60. Selain menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan baru, projek ini turut diyakini membawa tempias kepada pelbagai kegiatan ekonomi lain, seperti perkhidmatan, perumahan, pengangkutan, perhotelan dan pelancongan. Ringkasnya, Samur bakal membawa makmur untuk Sipitang, dan daerah-daerah lain yang bersempadan dengannya.
61. Cuma apa yang diharapkan menerusi projek Samur ini, agar golongan profesional anak tempatan Sabah diberi keutamaan untuk bekerja di situ.
62. Lanjutan daripada perkembangan ini, saya sekali lagi ingin membangkitkan di Dewan Yang Mulia ini saranan kepada Kementerian Kerjaraya supaya menimbang secara serius saranan menaik taraf jalan raya Sipitang-Kota Kinabalu.
63. Saya pernah membangkitkan hal ini dalam persidangan terdahulu, iaitu menaik taraf jalan tersebut menjadi dua lorong sehala, atau empat lorong bagi kedua-dua hala. Pada masa ini, jalan berkenaan hanya satu lorong sehala saja.
64. Keperluan bagi menaik taraf jalan tersebut semakin mendesak. Ini berikutan bertambahnya projek pembangunan di sepanjang pantai barat negeri Sabah. Selain projek Samur di Sipitang, satu lagi projek besar yang sedang dalam pelaksanaan di pantai barat ialah Terminal Minyak dan Gas (SGOT) di Kimanis yang bersebelahan dengan projek Kimanis Power. Kedua-dua projek ini juga merupakan projek mega membabitkan pelaburan berbilion ringgit.
65. Kita juga menghargai pelaksanaan projek jalan raya Mendulong By-Pass, yang dinantikan ramai penduduk. Apa yang diharapkan supaya projek tersebut dapat diteruskan hingga ke Meligan dan Long Pasia, dua kawasan yang juga mempunyai ramai penduduk, untuk menjana kegiatan ekonomi setempat, antaranya dalam sektor pelancongan dan pertanian.
66. Saya mengemukakan saranan ini memandangkan kerajaan negeri, menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) akan membangunkan kawasan di Iburu, dekat Meligan, dengan tanaman kelapa sawit dalam skala besar.
67. Juga saya ingin menyampaikan harapan penduduk kepada Kementerian Kerjaraya dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, supaya menaik taraf Jalan Kampung Karangan, Lumadan sejauh kira-kira enam kilometer, dan Jalan Kampung Mentulud, juga sejauh kira-kira 3.5 kilometer, yang pada masa ini hanya dalam keadaan gravel.
68. Kawasan perkampungan ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, serta juga memiliki sekolah rendah, tapi jalannya sungguh menyiksakan penduduk, yang dideritai sejak zaman Merdeka lagi.
69. Penduduk di situ benar-benar mengharapkan agar kepayahan hidup mereka diberi perhatian, kerana mereka pernah nyatakan kepada saya "penantian itu satu penyiksaan". Begitupun kepayahan mereka, sokongan mereka tidak pernah beralih angin, dan sehingga kini perkampungan tersebut kekal sebagai kubu Barisan Nasional.
PENUTUP
Tuan Yang Dipertua
70. Demikianlah sebahagian harapan yang sempat dinukilkan, semoga ia mendapat restu dan pertimbangan, sebagaimana harapan denyut hati rakyat 1Malaysia -- Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Baju kuning seluar kuning
Naik basikal berpusing-pusing
Hati pemimpin tidaklah runsing
Kalau rakyat senang di keliling
Sekian, Tuan Yang Dipertua, saya mohon menyokong!.