Peringatan itu dilontarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Haji Ahmad ketika merasmikan mesyuarat cawangan UMNO berkelompok bagi Dun Sindumin di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek serta mesyuarat itu juga dihadiri oleh lebih 800 ketua-ketua dan ahli-ahli cawangan daripada 131 cawangan Umno di Dun Sindumin.
Sapawi berkata kumpulan musang berbulu ayam itu bertindak seumpama `pembangkang’ kerana berusaha mempengaruhi anggota parti khususnya pada peringkat akar umbi.
“Kumpulan ini bertindak dengan mengkritik barisan kepimpinan UMNO tidak hanya pada peringkat bahagian, negeri tetapi juga pada peringkat kebangsaan…kumpulan ini juga berusaha mempengaruhi anggota parti untuk menentang barisan kepimpinan,” katanya lagi.
Sambil mendedahkan kewujudan kumpulan tersebut, Sapawi berkata ia harus dibendung dengan segera dan peranan itu hendaklah dimainkan sendiri oleh anggota UMNO pada semua peringkat.
Katanya usaha kumpulan itu dapat ditangani dengan anggota parti pada semua peringkat memperkukuhkan dan mempermantapkan kesetiaan terhadap perjuangan parti.
“UMNO memerlukan anggota yang setia pada perjuangannya dan ini termasuklah kesetiaan kita kepada barisan kepimpinan…menghentam dan mengkritik barisan kepimpinan secara terbuka dan umpama pembangkang bukan amalan UMNO.
“Mereka yang bersikap sedemikian sebenarnya hanya mementingkan perjuangan diri sendiri dan tidak menerimapakai perjuangan UMNO,” katanya.
Sapawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sipitang berkata tindak tanduk kumpulan itu akan diawasi “dan saya ingin tegaskan bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan laporan terus kepada barisan kepimpinan atasan berhubung dengan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan tersebut.”
Katanya UMNO malah Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan anggota yang berada di kumpulan tersebut yang hanya merugikan parti dan rakyat.
“Anggota UMNO dan juga BN adalah anggota yang memiliki kualiti perjuangan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata anggota UMNO khususnya pada peringkat akar umbi perlu mengawasi tindak tanduk kumpulan tersebut.
“Usah kita terpengaruh dan jangan juga menyokong kumpulan itu meskipun di belakang tabir,” katanya lagi.