Sunday, April 15, 2012

Kursus Pidato Politik Pemuda BN Sabah



DIHRAGAI…Sapawi diperhatikan oleh Baharul Sawi menerima cenderakenangan daripada Ketua Pemuda Umno Sabah Awang Kadin.

MESRA…Sapawi bersalaman dengan sebahagian peserta yang hadir di majlis tersebut.

SEMANGAT…Sebahagian Ketua-Ketua pemuda Umno Sabah dan pimpinan Pemuda BN Sabah yang hadir di majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Generasi muda perlu didedahkan dengan kehebatan perjuangan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat negara ini.

Perjuangan itu termasuklah membela dan memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira agama mahupun kaum, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.

“Peranan dan tanggungjawab ini adalah antara tugas yang perlu dilaksanakan oleh anggota pemuda pada semua peringkat,” katanya perasmian kursus pidato politik Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Pemuda Umno Sabah Awang Kadin, Timbalan Ketua Pemuda Umno Sabah Mohd Joh Wid Pengerusi Sekretariat Penerangan dan Komunikasi Unit Pidato dan Penghujahan Awan Pemuda Umno Sabah Baharul Sawi, dan Timbalan Pengerusi Pelaksana Program Matbali Musah. Beliau berkata ketika ini generasi muda kurang memahami akan kehebatan yang dimiliki oleh BN.

Sapawi berkata situasi itu berlaku kerana generasi muda dikaburi oleh pihak pembangkang menerusi lontaran-lontaran dakyah dan fitnah.

“Inilah adalah cabaran buat anggota pemuda sama ada pemuda UMNO mahupun parti komponen.

“Kita perlu mengambil langkah-langkah tertentu bagi mendedahkan generasi muda akan kehebatan BN yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat negara ini sebagai yang paling utama,” katanya lagi.

Menurutnya anggota pemuda perlu sentiasa berusaha mendekati generasi muda dan harus meningkatkan usaha bagi memberi kesedaran agar generasi muda tidak terus terperangkap dengan dakyah dan fitnah pembangkang.

Sapawi berkata dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan itu, salah satu daripadanya ialah kepetahan berpidato.

Menurutnya anggota pemuda bukan sahaja perlu sentiasa mendekati generasi muda tetapi perlu petah dan berupaya dalam berpidato.

“Kita harus sedar banyak dakyah-dakyah dan fitnah pembangkang perlu segera dijawab tetapi ia memerlukan strategi terbaik untuk memikat generasi muda...kepetahan atau kebolehan kita berpidato merupakan salah satu cara yang terbaik,” katanya dan menambah kepetahan berpidato akan turut membolehkan anggota pemuda menjawab segala dakyah dan fitnah pembangkang dengan jelas.

Beliau berkata kelemahan dalam berpidato bukan sahaja menggagalkan pemuda mendekati generasi muda tetapi ia akan menimbulkan `mood’ membosankan di kalangan generasi muda.

Sapawi juga berkata ketika ini generasi muda turut didedahkan dengan pelbagai sumber teknologi maklumat.

Katanya dengan teknologi maklumat yang tidak bersempadan itu, ia mewujudkan cabaran getir buat pemuda.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian dan seterusnya ditangani dan kerana itulah kita memerlukan anggota pemuda pada semua peringkat petah dalam berpidato dan seterusnya mampu bersaing dengan pembangkang,” katanya.



Share |