Sunday, May 6, 2012

Gotong-Royong Dan Penyerahan Bantuan Di Kg Kukut, Padas Damit, Beaufort




SUMBANGAN…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan Mesin rumput dan Kerusi kepada salah seorang Pengerusi JKKK di majlis tersebut.


PRIHATIN…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.




SOKONGAN…Sebahagian Penduduk kampung yang hadir di majlis tersebut.

BEAUFORT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha tersebut dilakukan dengan penuh kesungguhan.

“Setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak pernah dibiarkan oleh kerajaan dan ia sentiasa diberikan perhatian,” katanya pada majlis gotong royong dan penyampaian bantuan kepada OKU, ibu tunggal dan warga emas di Kampung Kukut dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah wakil rakyat Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Pegawai Penyelaras Kemas Parlimen Sipitang Aminah Ghafar dan Pengerusi Penganjur Yunus Raja di mana 100 OKU, ibu tunggal dan warga emas menerima bantuan tersebut.

Sapawi berkata Kerajaan BN adalah kerajaan yang telus dan amanah dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat.

Katanya apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat akan diberikan perhatian dan tindakan bagi mengatasinya akan dilakukan.

“Kita tidak pernah membiarkan rakyat terus diulit atau dihimpit dengan masalah sebaliknya kita akan berusaha membantu mengatasinya menerusi tindakan-tindakan yang positif,” katanya dan menambah kepentingan dan keperluan rakyat akan terus diletakkan sebagai perkara yang utama kepada kerajaan.

Beliau berkata Kerajaan BN bukan seperti kerajaan yang digempar-gempurkan oleh pembangkang.

Katanya apa yang dilakukan oleh pembangkang sebenarnya mahu mengelirukan dan mengabui mata rakyat.

“Rakyat boleh lihat dengan jelas apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN…kita bukan bercakap kosong sebaliknya apa yang kita cakap pasti akan dilaksanakan dan segala janji juga akan ditunaikan.

“Begitupun yang dilakukan adalah mengikut keutamaan dan kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu Sapawi berharap agar rakyat tidak mudah dipengaruhi dengan cerita-cerita kedai kopi yang didalangi oleh pembangkang.

Katanya cerita-cerita kedai kopi merupakan salah satu taktik pembangkang untuk mengelirukan dan mengabui mata rakyat.

“Dapatkan maklumat dengan tepat dan jelas…kita mempunyai pemimpin masyarakat malah pemimpin juga sentiasa mendekati dan mendampingi rakyat…gunakan ruang ini untuk mendapatkan maklumat,” katanya lagi.

Di majlis itu juga Sapawi dan Kamarlin menyumbangkan Mesin rumput dan kerusi kepada tiga pengerusi JKKK antaranya Kampung Kukut, Teratak dan Sahbandar.
Share |