Friday, May 25, 2012

Juara Rakyat Wanita Umno Sipitang



TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Surinam menyampaikan anugerah Nenek Anggung kepada Dayang Manis Binti Buyung di majlsi tersebut.
BERTUAH…Sapawi diperhatikan oleh Surinam menyampaikan hadiah utama basikal kepada pengunjung bertuah di majlis tersebut.

BEAUFORT: Peranan wanita dalam membantu kejayaan Barisan Nasional pada pilihan raya sememangnya tidak dinafikan.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata sumbangan wanita terhadap kejayaan itu adalah besar.

“Barisan kepimpinan BN sememangnya mengakui sumbangan yang diberikan oleh wanita dan kita berharap agar wanita akan meneruskan tradisi itu pada pilihan raya akan datang,” katanya pada perasmian Juara Rakyat sempena Bulan Wanita dan Keluarga di Kampung Bukau kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Penolong Setiausaha Wanita Umno Sipitang dayang Surinah karim, Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah, Ahli Jawatankuasa Wanita dan bahagian Umno Sipitang

Sapawi berkata sebagai penyumbang terbesar kepada kejayaan BN, wanita perlu untuk melakukan transformasi politik selaras dengan kemajuan dan pembangunan negara.

Katanya transformasi itu penting bagi memastikan wanita tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan pembangunan politik yang ketika ini semakin mencabar.

“Kita sendiri tidak akan mengabaikan wanita dan akan terus menyokong serta mendokong peranan yang dilakukan oleh wanita,” katanya lagi.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab itu hendaklah dilaksanakan dengan keikhlasan.

Katanya keikhlasan dalam perjuangan parti sememangnya dituntut kepada semua anggota tidak hanya kepada wanita.

“Keikhlasan itulah yang membawa kita kepada kesetiaan kepada parti dan perjuangannya,” katanya dan menambah keikhlasan itu juga akan membolehkan setiap anggota pada semua peringkat mengelak daripada terpedaya dan dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu.

Menurutnya ketika pilihan raya ke-13 semakin hampir, pelbagai isu dikemukakan oleh pembangkang kepada rakyat.

Beliau berkata pembangkang berusaha untuk mempengaruhi rakyat dan juga anggota parti di mana tumpuan turut diberikan kepada wanita.

“Pembangkang sedar untuk menghancurkan BN dan Umno, wanitalah yang harus difokuskan dan inilah yang harus diawasi,” katanya.

Katanya memang ramai yang sedar akan pembohongan pembangkang tetapi jika tidak berawas, ia boleh mempengaruhi mereka.

“Kesetiaan terhadap barisan kepimpinan, parti dan perjuangan amat penting dan ini jugalah azimat yang harus ada kepada semua anggota parti termasuklah wanita,” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan agar wanita Umno Sipitang sentiasa menyerapkan persefahaman dan kerjasama dengan wanita parti komponen yang lain.

Katanya persefahaman dan kerjasama itu penting bagi memastikan BN dan Umno terus kukuh dan mantap.

Sapawi juga mengingatkan agar wanita turut mengambil sikap berbincang segala masalah yang muncul dan tidak bertindak sendirian.

“Setiap masalah hendaklah diperbincangkan dengan semangat perjuangan parti…elak daripada memilih bertelingkah berpanjangan,” katanya lagi.

Share |