SIPITANG: Dekati generasi muda dan jadi penggerak transfomasi politik, ekonomi serta sosial negara.
Dua perkara inilah yang dilontarkan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad pada perlepasan konvoi larian Bendera Umno di Esplande di sini kelmarin.
Beliau berkata dua perkara itu perlu diberi penekanan oleh pemuda dan juga puteri bagi merealisasikan gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno.
“Anggota pemuda dan puteri pada semua peringkat perlu berusaha mendekati generasi muda…kita mahu agar generasi muda bukan sahaja tahu tetapi memahami perjuangan Umno dan juga Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata generasi muda ketika ini tidak harus dibiarkan sehingga mereka dipergunakan dan diperbodohkan oleh pihak pembangkang.
Katanya pembangkang melontarkan pelbagai dakyah dan fitnah bagi mempengaruhi generasi muda.
Menurutnya ramai generasi muda terpengaruh dengan dakyah dan fitnah tersebut “dan ini berlaku kerana generasi muda tidak didedahkan dengan perjuangan sebenar Umno dan juga BN.”
Oleh itu, katanya, adalah penting bagi anggota pemuda dan puteri pada semua peringkat memainkan peranan dengan mendekati generasi muda dan menerangkan perjuangan sebenar Umno dan juga BN.
Sapawi berkata anggota pemuda dan puteri juga merupakan penggerak utama kepada transfomasi politik, ekonomi dan sosial negara.
Menurutnya Kerajaan BN telah menyediakan persekitaran yang kondusif di mana pemuda dan puteri perlu menjadi pejuang utama dan sumber inspirasi kepada rakyat dalam proses pembangunan negara.
"Dengan demikian Pemuda dan Puteri Umno perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetuhan dan kemahiran supaya lebih kompetitif dalam era globalisisi dan ledekan teknologi disamping berusaha mencapai penanda aras yang terbaik, " katanya.
Menurutnya, sebagai pemimpin pada masa hadapan perlu memiliki pengetuhan dan kemahiran namun dalam masa yang sama mereka perlu menampilkan ciri ciri kepimpinan yang tulen, ikhlas amanah dan bertanggungjawab terhadap kepentingan bangsa, agama dan negara.
Sapawi juga menegaskan tiada kecacatan pada jenama BN dan tiada sebab untuk rakyat daripada mana-mana peringkat usia menolak kehadirannya selagi perkhidmatan yang diberikan jentera BN menepati cita rasa serta mengambil kira kehendak rakyat.
Tambahnya, semua parti komponen BN juga perlu mempunyai semangat lama penubuhan perikatan yang fokus kepada membantu rakyat jelata melalui pelbagai program ilmu dan perkhidmatan terutamanya di kampung-kampung dan luar bandar.
Beliau seterusnya mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti komponen mengambil contoh pendekatan Perdana Menteri yang turun padang untuk bersama rakyat dalam pelbagai program dan aktiviti, bukan sahaja untuk mendekati pengundi malahan untuk mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi.
"Semua warga parti-parti komponen perlu menerap cara Perdana Menteri memperkukuh dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN di samping mengelak daripada menimbulkan isu yang boleh dimanipulasi pihak lawan.
"Selesaikan semua masalah dalaman terutama sekali di peringkat akar umbi kerana rakyat akan menilai BN secara keseluruhan jika melihat masalah kecil peringkat bahagian juga sukar ditangani," ujarnya.
Beliau berharap momentum peningkatan sokongan belia dan rakyat kepada BN akan berterusan melalui pelbagai program dan pendekatan agresif yang boleh dan perlu diambil setiap parti komponen.
Sementara itu, Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang turut mengajak seluruh pemimpin dan ahli Umno di segenap peringkat mengambil iktibar dari sejarah sempena ulang tahun Umno ke 66 ini untuk melihat perjuangan parti dari perspektif yang baru.
Ini tegas beliau mempunyai hubung kait dengan proses perubahan yang dijayakan dalam kerajaan sendiri iaitu proses transformasi ekonomi, model baru yang diperkenalkan untuk mengubah struktur ekonomi negara.
Jelas beliau lagi kesemuanya ini adalah suatu usaha yang agak besar yang boleh dikatakan agak luar biasa yang belum pernah dilihat berlaku dalam konteks pembangunan dan sistem kerajaan sebelum ini.
“Kalau ini kita ambil sebagai cabaran di samping transformasi politik yang memang kita anjurkan untuk kita lakukan secara bersama-sama, maka saya lebih yakin bahawa bukan sahaja Umno boleh kekal untuk pertahankan wadah orang Melayu dan masyarakat Malaysia.
"Tetapi Umno juga boleh kekal sebagai pertubuhan yang lebih kukuh, mantap dan lebih berupaya untuk menjana kekuatan baru bagi membolehkan kita menyempurnakan apa yang dihajatkan oleh rakyat agar negara lebih terjamin, aman, makmur dan selamat, " katanya.
Tambahnya usia Umno yang kini sudah pun berusia 66 tahun dan sudah pun menjadi tunggak pemerintahan negara sejak merdeka lagi sesungguhnya sarat dengan pelbagai cabaran.
Hakikatnya kata beliau dalam tempoh masa 66 tahun itu, bukan sedikit Umno menempuh pelbagai dugaan, rintangan dan halangan tapi atas tekad berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, Umno sehingga kini masih terus kekal kukuh sebagai wadah perjuangan rakyat Malaysia.
Turut sama pada majlis itu ialah Ketua Penerangan Umno Sipitang, Ahmad Bujang, Timbalan Ketua Umno Sipitang, Kamarlin Ombi, Ketua Konvoi Larian bendera Umno Faez Datuk Nordin, Setiausaha Umno Sipitang, Alidin Mohamad, Pemuda Umno Sipitang, Yamani Hafez Musa, dan Naib Ketua Pemuda Sipitang, Matbali Musah.