Menurut Exco Penerangan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, kerajaan BN sememangnya mengutamakan dalam memberikan ruang dalam memperjuangkan manifesto bagi memperlihatkan kefahaman dari segi politik masing-masing.
Sapawi yang mengulas mengenai manifesto yang boleh disiarkan dalam saluran media elektronik khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkata, ianya merupakan pendekatan ikhlas dan telus yang dibuat dibawah pemerintahan BN yang mengamalkan sistem demokrasi.
"Selain memberi peluang kepada pihak pembangkang dalam memperjuangkan ideologi dan fahaman politik, ianya juga mampu memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerjaan BN sentiasa mengamalkan demokrasi, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media pada program Karnival Sukan Juara Rakyat Parlimen Sipitang 2012 di Padang Topten Pekan Sipitang, kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Kamarlin Ombi; Adun Sindumin, Ahmad Bujang; Pegawai Daerah Sipitang, Latip Amat; Ketua Daerah Sipitang, Arip Ismail; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sindumin, Abdul Rahman Mohd Noh, pengerusi Pelaksana merangkap Pengerusi Biro Sukan Umno Sipitang Ramli Awang said, PKR Lumadan, Ahmad Mumin dan Ketua PBS Sabah, Datuk Jamilah Sulaiman serta Ketua Bahagian UPKO Sipitang, Goven Jablee Lasung.
Sapawi menambah, manifesto yang dilaksanakan itu mengikut aspek semasa pembangunan yang diingini selaras dengan Wawasan 2020 agar pembangunan dapat dilakukan di bandar mahupun diluar bandar.
Jelasnya, manifesto itu turut memberi peluang kepada pihak pembangkang dalam memperlihatkan kehebatan dalam memperjuangkan kefahamannya kepada rakyat keseluruhannya melalui manifesto.
Sementara itu, pada sidang media yang sama, Sapawi turut mengulas mengenai jumlah pengundi di Sabah yang layak mengundi tetapi belum lagi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sapawi menjelaskan, Selaku Ketua Penerangan Umno dan BN, setiap parti komponen mempunyai rangka strategi dan pendekatan masing-masing dan tidak pernah sesekali meninggalkan aspek ini.
"BN tidak meninggalkan aspek ini kerana kekuatan negara amat bergantung kepada golongan muda khususnya belia-belia yang boleh mengundi dalam pilihanraya yang akan datang.
"Ini kerana golongan-golongan ini boleh mengundi kerana sudah layak dari segi syarat dan setiap undi menjadi penentu kepada masa depan negara.
"Jumlah yang amat tinggi itu sangat membimbangkan kerana setiap pengundi sepatutnya menunaikan tanggungjawab mereka dalam menentukan masa depan negara.
"Oleh itu, golongan belia masa kini perlu tahu dan tunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan negara Malaysia diterajui oleh barisan pimpinan yang adil dan prihatin terhadap rakyat, " ujarnya.
Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, ia adalah mandat kerajaan yang harus dititikberatkan memandangkan jumlah pengundi yang layak tapi belum didaftar sebagai pemilih amat tinggi.
"Oleh itu, karnival ini amat berketepan dalam menganjurkan program ini bagi mensasarkan golongan belia yang belum berdaftar bagi mendapatkan penglibatan belia, " katanya.