Thursday, June 7, 2012

Masyarakat Dayak, Iban diminta beri sokongan penuh kepada kerajaan




7th June, 2012

TAWAU: Masyarakat Dayak dan Iban di negeri ini diminta memberi sokongan penuh kepada usaha berterusan kerajaan meningkatkan agenda pembangunan sejak dahulu hingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, berkata hanya melalui sokongan berterusan mampu menjamin kelangsungan dan merealisasikan hasrat kemajuan yang diimpikan.

Menurutnya, program pembangunan yang dirancang akan menjadi sia-sia sekiranya masyarakat memilih kerajaan selain daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita semua perlu terus berdiri di belakang kerajaan bagi menjamin kita terus dapat mengecapi nikmat pembangunan yang berterusan,” katanya pada majlis Perayaan Pesta Gawai Dayak di Pentas Kampung Iban, Merotai di sini.

Dalam pada itu menurutnya, perayaan pelbagai kaum yang diraikan mampu mewujudkan interaksi serta saling memahami antara satu sama lain dalam usaha memupuk budaya harmoni.

“Inilah ciri unik masyarakat kita apabila kerajaan sentiasa peka dengan aspirasi setiap suku kaum dengan menyediakan peluang kepada setiap budaya etnik untuk merayakan dan membentuk identiti bangsa masing-masing,” katanya.

Jelasnya, sesuatu perayaan itu lebih bermakna apabila setiap rakyat dapat menghayati dan memahami maksud dan mesej yang disampaikan di sebalik sambutan yang diraikan secara bersama.

Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat supaya sentiasa memastikan tahap perpaduan dapat dipertingkatkan ke arah memperkasa ekonomi negara.

Hamisa yang juga Ketua Wanita Umno Kalabakan menambah, tradisi eksklusif setiap kaum merupakan aset yang perlu dipelihara demi mengekalkan dan mengembangkan nilai-nilai kebudayaan suku kaum masing-masing.

“Sambutan perayaan ini pada hakikatnya adalah manifestasi kamajuan ekonomi, sosial dan budaya negeri yang perlu dihayati bukan sahaja oleh masyarakat Dayak dan Iban, malah oleh seluruh masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.
Share |