KUALA LUMPUR: Penghidap diabetes di negara ini berisiko 25 kali ganda untuk mengalami kerosakan mata termasuk buta, kata seorang pakar bedah mata.
Prof Dr Muhaya Mohamad berkata oleh itu pesakit diabetes dan mereka yang berumur 40 tahun ke atas perlu berjumpa pakar mata sekurang-kurangnya setahun sekali untuk melakukan pemeriksaan.
“Di Malaysia, kira-kira 20 peratus orang memerlukan cermin mata disebabkan masalah rabun yang bermula daripada peringkat umur 40 tahun ke bawah, tetapi saya dengar kadar ini sekarang semakin meningkat,” katanya selepas menyampaikan ceramah pada program Bual Bicara Eksekutif di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.
Mengenai kecanggihan teknologi yang boleh mempengaruhi tahap penglihatan kanak-kanak, Dr Muhaya berkata hal itu berlaku kerana kecenderungan kanak-kanak menggunakan peralatan teknologi seperti komputer terlalu lama yang menyebabkan mata mereka terlalu fokus pada satu tempat sahaja.
“Sepatutnya mereka perlu merehatkan mata dengan melihat sesuatu yang jauh bagi mengurangkan keletihan pada mata. Ibu bapa juga sepatutnya merancang aktiviti luar bersama anak-anak mereka bagi mengurangkan kecenderungan anak-anak mereka terhadap teknologi yang mampu mengakibatkan rabun pada usia muda,” katanya.
Beliau juga menasihati anggota masyarakat supaya menjalani cara hidup sihat supaya mata mereka sentiasa berkeadaan baik.
Kira-kira 200 peserta menghadiri program berkenaan bertajuk ‘Dari Mata Turun ke Hati’ anjuran IPPTAR.