AMANAH RAKYAT…Sapawi bersama Zamri dan Yunus serta rombongan sedang mereda sungai menaiki perahu melihat permasalahan penduduk setempat
BANTUAN…Sapawi menyampaikan bantuan peralatan memotong rumput kepada Pengerusi JKKK Kampung Bengkalalak Matjidil Ansil
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Zamri dan Yunus menyampaikan sumbangan set jarsi dan bola kepada Ketua Pemuda Umno Cawangan Bintuka Hassan Pail.
IKHLAS…Sapawi menyampaikan bantuan kewangan kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
BEAUFORT: `Selagi Barisan Nasional menerajui tampuk pemerintahan negara selagi itulah rakyat akan menikmati keharmonian dan juga kemakmuran.’
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ia bukan cakap kosong atau sekadar janji manis tetapi ia sudah dibuktikan dengan begitu jelas sejak dahulu sehingga kini.
“Program pembangunan dan kemajuan akan terus dilaksanakan selagi rakyat memilih BN…setiap janji yang dilafazkan oleh BN tetap akan ditunaikan,” katanya pada program mesra rakyat di Kampung Bintuka dekat sini kelmarin.
Beliau berkata hasil daripada pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan itulah rakyat menikmati keharmonian dan juga kemakmuran.
Katanya usaha yang dilakukan oleh BN itu sentiasa dipertingkatkan kualitinya di semua kawasan di negara ini.
“Tiada yang ditinggalkan atau dianaktirikan…BN bukan seperti pembangkang yang hanya tahu menabur dakyah dan fitnah.
“Perjuangan BN utamakan rakyat bukan seperti pembangkang yang hanya mahu mempergunakan dan memperbodoh-bodohkan rakyat untuk kepentingan diri,” katanya lagi.
Menurutnya pelaksanaan program pembangunan dan kemajuan itu dilaksanakan mengikut keutamaan.
Katanya memang ada perancangan yang memerlukan masa “tetapi ia tetap dilaksanakan kerana BN utamakan kualiti dalam pelaksanaan pembangunan dan juga kemajuan.”
Sapawi memberitahu BN tidak mahu rakyat menikmati pembangunan dan kemajuan itu dengan tidak setimpal dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
“Keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada BN dilaksanakan dengan penuh ikhlas, amanah dan bertanggungjawab…inilah sebabnya mengapa BN mahu mempastikan kualiti setiap perancangan,” katanya.
Beliau berkata rakyat harus tidak mudah dipengaruhi dan diperdaya oleh pembangkang yang sentiasa berusaha untuk memesongkan fikiran mereka.
Katanya pembangkang mempergunakan pelbagai taktik termasuklah mencetuskan perbalahan atau pertelingkahan di kalangan rakyat.
“Apabila ini berlaku rakyat sesama akan berselisih dan ini memberi peluang kepada pembangkang untuk mempengaruhi rakyat,” katanya dan menambah rakyat perlu berfikir dengan bijaksana dan membuat keputusan yang tepat.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Pengarah Kemas Sabah Zamri Mohammad, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf,Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Ahmad Mumin dan Pengerusi Gerakkan Daya Wawasan Yunus Abdul Rajah.
Sapawi berkata BN tidak mahu melihat rakyat menderita dan hidup dalam kesengsaraan serta tidak mahu rakyat diperguna dan diperbodoh-bodohkan.
“Kita amat menghargai rakyat dan sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat terus menikmati keharmonian dan juga kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata usaha itu termasuklah menyediakan pelbagai peluang untuk rakyat dalam pelbagai aspek termasuklah ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Bagaimanapun Sapawi menegaskan peluang tersebut perlulah dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh rakyat.
“Peluang yang disediakan oleh kerajaan hendaklah tidak dipersia-siakan…rebut peluang itu dan pergunakannya dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.
Beliau juga meminta agar pemimpin setempat memainkan peranan dengan memastikan rakyat tidak terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah serta fitnah yang ditabur oleh pembangkang.
Katanya penerangan dan penjelasan mengenai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan hendaklah sampai kepada rakyat tanpa ada “pertambahan atau kekurangan yang boleh mengelirukan.”
Menurutnya setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak harus dibiarkan sebaliknya ia hendaklah dikemukakan kepada barisan kepemimpinan atasan bagi diutarakan kepada kerajaan untuk tindakan.
“Jika masalah rakyat tidak disuarakan sudah tentu pemimpin tidak akan mengetahuinya dan apabila ini berlaku rakyat pasti akan menuduh pemimpin yang bukan-bukan dan ini turut membuka peluang kepada pembangkang untuk menghasut dan seterusnya mempengaruhi rakyat,” katanya lagi. Dalam pada itu Sapawi turut mengumunkan bahawa Kampung Bintuka antara kampung yang terpilih kampung tanpa wayar 1 Malaysia.
Sapawi juga turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 73 orang penerima terdiri daripada Ibu tunggal, Orang kurang upaya dan warga emas.
“Ini adalah tanda kerajaan ingin rakyat walaupun dil uar bandar celik kepada ICT,” katanya.