CERIA…Sebahagian pemimpin dan penduduk setempat yang menghadiri majlis tersebut
IKHLAS…Sapawi menyampaikan sumbangan kewangan kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan RM2 ribu kepada Pengerusi PERBEKK Mohd Said Awang Damit.
MANTAP…Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama pimpinan tertinggi PERBEKK di majlis tersebut.
BEAUFORT: `Usah ketepikan golongan veteran dalam usaha mencapai kemajuan dan pembangunan.’
Nasihat itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad kepada golongan belia pada majlis pemimpin bersama rakyat dan penutupan karnival belia PERBEKK Kampung Kuridak di sini kelmarin.
Beliau berkata pemikiran seperti cadangan, pandangan dan pendapat golongan veteran tidak harus diketepikan sebaliknya ianya masih boleh digunapakai.
“Dalam kita berusaha mencapai kemajuan dan pembangunan, sudah tentu kita mengharapkan golongan belia tetapi pada masa yang sama turut meletakkan golongan veteran sebagai golongan yang berperanan penting,” katanya.
Katanya golongan belia merupakan penggerak ke arah usaha untuk memastikan kemajuan, pembangunan dan kejayaan yang dicapai berkekalan serta berterusan “tetapi ianya perlu didokong dan disokong oleh golongan veteran.”
Menurutnya pengalaman golongan veteran penting kepada golongan belia untuk bergerak dan seterusnya berusaha mencapai apa yang dicitakan.
Kerana itulah, katanya, kerjasama antara golongan veteran dan golongan belia menjadi pemacu kepada kejayaan dan juga kecemerlangan.
Sehubungan dengan itu Sapawi berkata penubuhan Persatuan Belia Kampung Kuridak (PERBEKK) merupakan usaha yang sememangnya dialu-alukan.
Katanya penubuhan persatuan itu penting kerana ianya bakal menjadi wadah kepada golongan belia di kampung tersebut.
“Namun untuk memastikan persatuan itu bergerak seperti yang diharapkan, penglibatan golongan veteran tidak harus dipandang sepi…golongan veteran ini adalah pendokong dan penyokong untuk kita mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang dicitakan,” katanya lagi.
Majlis anjuran bersama Umno Cawangan Kuridak, Kuridak Ulu dan Kuridak Laut turut dihadiri oleh Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Ketua Anak Negeri jafar Lukin,Pegawai Perpaduan Beaufort Awang Anak Abdul sani, Pegawai Belia dan Sukan Beaufort Nordin Ismail , Wakil Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Aziz Ason dan Pengerusi PERBEKK Mohd Said Awang Damit.
Sapawi berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang sentiasa memberikan sokongan kepada golongan belia.
Katanya pembangunan dan kemajuan golongan belia tidak pernah diabaikan dan pada masa yang sama kepentingan golongan veteran turut diutamakan.
“Kedua-dua golongan amat penting dan kerana itulah kerajaan sentiasa mengalu-alukan agar wujud kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua golongan ini,” katanya.
Pada majlis itu juga Sapawi telah menyerahkan pengurusan empat gelanggang Fustal dalam parlimen Sipitang kepada persatuan Belia Kampung Gadong, Persatuan Belia Kampung Kuridak, Persatuan komuniti kampung Bukau dan JKKK Kampung Padas Damit.