MANTAP…Sapawi dan Hajiji merakamkan kenangan bersama barisan pimpinan dan AJK Umno Sipitang.
MERIAH…Rombongan Umno Tuaran bersama perwakilan Umno Sipitang turut hadir di majlis tersebut.
DIHARGAI…Sapawi menyampaikan cenderakenangan kepada Hajiji sambil diperhatikan oleh Kamarlin, Ahmad pada perasmian tersebut.
SEMANGAT…Hajiji diperhatikan oleh sapawi dan kepimpinan Umno Sipitang menaikkan bendera Umno sejurus tiba di majlis tersebut.
SIPITANG: Rakyat harus tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan pembohongan pembangkang.
Bendahari UMNO Sabah Datuk Hajiji Haji Noor berkata pembangkang sememangnya hebat dalam melemparkan dakyah dan fitnah untuk mengelirukan rakyat.
“Rakyat perlu sedar bahawa pembangkang sentiasa berusaha untuk mempengaruhi rakyat dengan melontarkan pelbagai propaganda dan juga dakyah serta fitnah,” katanya pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sipitang di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang maimunah Sidek.
Hajiji yang juga Ketua Umno Tuaran berkata pembangkang juga berusaha untuk memperdaya dan mempengaruhi anggota UMNO dan juga Barisan Nasional.
Katanya rakyat malah anggota UMNO dan BN akan mudah terpengaruh dan terpedaya dengan proganda dan pembohongan pembangkang jika tidak berhati-hati dan berwaspada.
“Kita sebagai ahli UMNO perlu memiliki semangat kesetiaan terhadap perjuangan parti yang jitu…kesetiaan perjuangan itu termasuklah kesediaan untuk memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan UMNO,” katanya dan menambah sokongan padu perlu diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan barisan kepimpinannya serta Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Menurutnya barisan kepimpinan perlu dipertahankan oleh anggota UMNO pada semua peringkat.
“Kita setia kepada perjuangan parti dan kita harus bersedia mempertahankan barisan kepimpinan parti,” katanya lagi.
Hajiji berkata semangat kesetiaan itulah juga harus dijadikan sebagai asas kepada kesetuan di kalangan ahli parti.
Katanya semangat kerjasama perlu ada pada setiap ahli parti termasuklah dalam menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.
Menurutnya UMNO yang menjadi tulang belakang kepada BN sentiasa memperjuangkan nasib rakyat.
“Perjuangan kita adalah untuk rakyat dan sejak sekian lama matlamat perjuangan ini tidak pernah berubah dan tidak akan berubah…rakyat menjadi keutamaan kepada kita,” katanya.
Sebelum itu Ketua UMNO bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata UMNO Sipitang telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya nanti.
Katanya UMNO Sipitang melihat pilihan raya kali ini adalah menentukan nasib agama, bangsa dan negara.
“Pilihan raya akan datang akan menjadi penentu masa depan negara dan UMNO Sipitang telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Sambil menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri, Sapawi memberitahu UMNO Sipitang tidak akan sesekali beralih sokongan.
Katanya Najib dan Musa merupakan pemimpin yang akan terus diberikan sokongan padu dalam menerajui kepimpinan pada peringkat nasional dan juga peringkat negeri.
“Saya ingin tegaskan bahawa UMNO Sipitang menyokong padu dan berdiri di belakang Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri,” katanya lagi.
Seramai 679 perwakilan termasuk AJK, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Sipitang hadir pada perasmian tersebut.