Tuesday, October 2, 2012
Membaikpulih Rumah Nelayan Parlimen Sipitang
TAHNIAH…Sapawi menyampaikan surat tawaran kerja
membaikpulih rumah nelayan kepada wakil persatuan nelayan Masri Ajak.
SIPITANG: `Laksanakan projek yang
diberikan oleh kerajaan dengan baik dan mematuhi apa yang telah
ditetapkan."
Itulah nasihat dan harapan yang diluahkan oleh
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada majlis penyerahan surat tawaran
kepada kontraktor bagi melaksanakan kerja membaikpulih rumah nelayan dalam
Parlimen Sipitang di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengurus
Peladang Sipitang Ali Hassan, Pengurus Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Sipitang Basran Sakmad, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah
Sapawi berkata jika kontraktor mematuhi syarat
yang ditetapkan sudah tentu projek yang dilaksanakan akan memuaskan hati bukan
sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada kerajaan.
"Kerajaan memberikan projek itu kerana
mahukan rakyat menikmatinya dan kontraktor perlulah amanah dalam
melaksanakannya," katanya.
Menurutnya projek yang kurang memuaskan sudah
tentu akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dan ia juga akan
turut memberi kesan kepada wakil rakyat dan juga kerajaan.
Katanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah
kerajaan yang meletakkan kepentingan dan keutamaan kepada rakyat dan sudah
tentu setiap projek rakyat haruslah dilaksanakan dengan sempurna dan seperti
yang diharapkan.
Sapawi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan
Pertanian Kawasan Parlimen Sipitang berkata kegagalan menyiapkan atau
melaksanakan projek yang diberikan dengan sempurna besar kemungkinan akan
menutup peluang kepada kontraktor itu sendiri.
"Selain memikirkan keuntungan, kontraktor
juga perlu memikirkan masa depan yang panjang dan bukannya untuk jangka masa
yang pendek," katanya dan menambah BN mahu setiap janji yang dikotakan
benar-benar dinikmati oleh rakyat.
Menurutnya BN tidak mahu janji yang dikotakan
tidak mampu menambat hati rakyat sebaliknya menimbulkan pula rasa kurang senang
kepada rakyat.
Katanya projek yang diperkenalkan oleh kerajaan
BN adalah untuk rakyat "dan BN tidak mahu ianya dilaksanakan dengan sikap
ambil mudah."
Dalam pada itu Sapawi memberitahu projek
membaikpulih rumah nelayan adalah merupakan salah satu usaha yang dilakukan
oleh Kerajaan BN untuk membantu golongan tersebut.
"Nasib golongan nelayan tetap diperjuangkan
dan begitu juga dengan golongan yang lain, hakikatnya kerajaan akan terus
membela nasib dan kepentingan rakyat," katanya lagi.
Di majlis itu lapan kontarktor menerima surat tawaran
kerja termasuk satu projek diperuntukkan untuk Persatuan Nelayan Teluk Padas.
Sebanyak 105 buah
rumah nelayan akan dibaikpulih melibatkan kos pembaikkan setiap sebuah rumah RM
12 ribu.