Saturday, October 13, 2012

Wujud pusat latihan, kolej komuniti di Sipitang


Wujud pusat latihan, kolej komuniti di Sipitang

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad menyarankan supaya diwujudkan pusat latihan dan kolej komuniti di daerah Sipitang bagi memenuhi keperluan modal insan, khususnya berkaitan teknikal serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata penubuhan pusat latihan dan kolej sedemikian dirasakan semakin mendesak berikutan pelaksanaan beberapa projek mega di kawasan berkenaan.

"Ia juga seiring dengan cadangan menerusi Bajet 2013 bagi menjadikan Sipitang sebagai hab minyak dan gas," katanya ketika membahas bajet berkenaan di Dewan Rakyat kelmarin.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana merealisasikan impian menjadikan Sipitang sebagai hab minyak dan gas, Sapawi berkata, pelaksanaan projek itu diyakini merancakkan lagi pembangunan Sipitang dan kawasan sekitarnya, menerusi lonjakan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Beliau berkata untuk memenuhi keperluan sebagai hab minyak dan gas, Sipitang kini memerlukan penubuhan kolej berasaskan teknikal dalam bidang berkaitan bagi memberi latihan kemahiran, khususnya kepada belia tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan di masa depan.

Mengenai kolej komuniti, Sapawi berkata ia perlu diwujudkan sebagai strategi jangka panjang membangunkan bidang pendidikan, iaitu aspek yang diberi penekanan dalam Bajet 2013, yang menyaksikan sejumlah RM38.7 bilion dikhususkan bagi sektor pendidikan.

"Kita menyokong usaha agresif kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), justeru kita mengharapkan agar sebahagian daripada bajet ini disediakan khusus bagi meningkatkan prasarana pendidikan di Sabah, dan juga Sarawak, demi merapatkan jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Kita juga berharap agar pelan pembangunan ini, yang merupakan agenda besar Kementerian  Pelajaran, disokong oleh kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk dalam usaha meningkatkan kualiti guru.

"Kita berpendirian pentingnya guru berkualiti sebagai jaminan kejayaan transformasi, misalnya meningkatkan guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik -- yang merupakan subjek teras yang tidak boleh dipinggirkan," katanya.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan `Makmal Berpusat' yang berperanan sebagai pusat pembelajaran Bahasa Inggeris untuk sekolah-sekolah yang berselerak di kawasan luar bandar.

Menurutnya, usaha itu perlu untuk menentukan pelajar dari kawasan luar bandar turut mendapat pendidikan berkualiti, termasuk pengajaran Bahasa Inggeris.

Sapawi juga meminta kerajaan supaya menyegerakan pelaksanaan projek menaik taraf lebuh raya Sipitang-Kota Kinabalu, menjadi lebuh raya empat lorong, demi menjamin kesejahteraan pengguna, pelabur, peniaga dan pekerja.

Katanya, ketika ini telah dimulakan kerja-kerja pelaksanaan melebarkan sesetengah bahagian lebuh raya itu, untuk dijadikan kawasan memotong, tetapi ia masih tidak memadai bagi menampung keperluan dan peningkatan trafik dalam jangka panjang.

Bajet 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" yang dibentangkan oleh Najib pada 28 September lalu.

Sapawi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat kerana memberi perhatian terhadap pembangunan dan keperluan negeri Sabah.

"Lebih mengembirakan bagi kami dari Sabah, perkhabaran gembira dibawa bersama belanjawan ini, iaitu  paling utama penyeimbangan kadar harga barangan pengguna yang bakal menyaksikan kadarnya lebih murah berbanding waktu ini.

"Penyeragaman kadar harga itu, yang turut menjangkau ke Sarawak dan WP Labuan bakal menghapuskan jurang harga yang begitu memeritkan selama ini," katanya.

Menurutnya, walaupun Sabah letaknya jauh dari Putrajaya, namun ia tetap dekat di hati Perdana Menteri.

"Nyata jarak bukanlah penghalang, dan keterpisahan bukan lagi alasan. Jauh di mata, tapi dekat di hati. Itulah lambang pimpinan sejati," katanya.

Sapawi juga membidas tindakan pembangkang yang mempertikai dan memperkecilkan bajet 2013 itu.

"Kita sedih lagi terkilan mendengar suara-suara sinis kritikan dan hentaman yang dilemparkan oleh pihak pembangkang. Pembangkang ini menuduh BN macam-macam, itulah...inilah...gimiklah. Mereka kata gimik, walhal mereka sebenarnya panik.

"Soal royalti minyak untuk Sabah cuba diputarbelit, pembangkang konon menjanjikan sehingga 20 peratus, tetapi mereka tidak sedar, atau barangkali terlena dalam buai mimpi mereka, bahawa apa yang disumbangkan oleh Kerajaan Pusat untuk Sabah selama ini jauh lebih besar daripada apa apa yang mereka cuba umpankan itu," katanya.

Kepada rakyat, Sapawi mengajak semua untuk mendokong kepemimpinan Perdana Menteri sebagai nahkoda dinamis yang sentiasa bingkas, bergerak tangkas dan pantas, mengemudi perjuangan.

"Rentak dan irama kita mesti senada bersama pimpinan, kita perlu berani dan lantang bersuara. Dalam mengharungi perjuangan ini, kita patut kuat gegar bersuara dan tidak lagi boleh bersifat defensif, tapi sebaliknya kita mesti lebih offensif," katanya.

Share |