Thursday, July 26, 2007

Bumi Hijau (pertanian)

SEMBOLIK…Sapawi diperhatikan oleh Pegawai Daerah Sipitang Abdul Wahap Abdul Hamid (dua dari kanan) sedang menyiram tanaman sayuran tanda rasmi majlis tersebut.


SIPITANG: Pelaksanaan kempen Bumi Hijau secara meluas dan penuh komitmen diharap dapat mengurangkan defisit imbangan negara dalam sektor makanan menjelang 2010.


Pembantu Menteri Kewangan Datuk Sapawi Ahmad berkata negara pada ketika ini menghadapi defisit imbangan dagangan sektor makanan.


“Pelaksanaan kempen Bumi Hijau merupakan satu gerakan mengubah pemikiran dan persepsi masyarakat untuk terlibat kangsung dalam aktiviti pertanian,” katanya ketika merasmikan pelancaran kempen Bumi Hijau peringkat daerah di sini kelmarin.


Bagaimanapun beliau berkata kejayaan kempen itu memerlukan penglibatan dan sokongan dari pelbagai pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi kerajaan.


Ini kerana tumpuan kempen itu merangkumi kawasan perumahan, pengairan umum, kawasan terbiar dan tanah-tanah lapang, katanya dan menambah adalah diharapkan tanaman seperti sayur-sayuran, ulam dan pokok buah-buahan ditanam secara teratur dan menjadi hiasan persekitaran rumah.


Menurutnya penglibatan secara menyeluruh dan penduduk bukan petani dalam menjayakan kempen tersebut mampu membantu mencapai matlamat kerajaan.


Beliau memberitahu kerajaan meletakkan matlamat untuk mengurangkan defisit imbangan perdagangan bahan makanan khususnya di negeri ini menjelang 2010.
“Kempen Bumi Hijau bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran dalam negara tetapi juga merangsang rakyat untuk menceburi bidang pertanian secara komersial,” katanya lagi.


Hadir sama pada majlis itu termasuklah wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Suraya Bahar, Pegawai Daerah Sipitang Abdul Wahap Abdul Hamid dan Pegawai Pertanian Sipitang Mohd Jasli Haji Dingle.


Sapawi yang juga wakil rakyat Sindumin berkata kempen itu juga mampu memberim manfaat kepada sektor swasta.


Katanya penglibatan semua pihak dalam kempen itu akan dapat meningkatkan permintaan terhadap bekalan benih dan bahan tanaman.


“Kempen ini berupaya menjalan peluang perniagaan kepada sektor swasta agar meningkatkan usaha bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya lagi.



SUBUR…Sapawi sedang melawat pemenang pertandingan tanaman sayuran dalam pasu di laman rumah Aisah Gahap (tiga dari kanan).


Share |