Thursday, July 26, 2007

Pemuda Umno Sipitang Sebulat Suara Kekalkan Pimpanan Kebangsaan, Peringkat Negeri dan Bahagian

MANTAP…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Ketua Pemuda Umno Sipitang Osman Ahmed sambil diperhatikan oleh wakil Pemuda Umno Sabah Isnin Aliasnih (dua dari kanan) dan Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Mohd Faizal Abdullah.

KESEMPATAN…Sapawi bersama Ketua Pemuda Umno Sipitang Osman Ahmed dan wakil Pemuda Umno Sabah Isnin Aliasnih (dua dari kanan) serta Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Mohd Faizal Abdullah (dua dari kanan) sedang memotong kek sempena ulangtahun Umno ke-61.


GADONG (Beaufort): “Jadilah pemimpin yang berakhlak dan bermoral tinggi.”
Begitu nasihat Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad kepada anggota Pemuda ketika berucap pada persidangan Pergerakan Pemuda Umno Sipitang di Dewan Masyarakat Gadong kelmarin.


Menurutnya bukan tugas Pemuda untuk memecahbelahkan dan menjatuhkan pemimpin yang sedia ada.


“Beri tumpuan kepada tugas yang diamanahkan oleh parti dan ini termasuklah memperkasakan Umno,” katanya lagi.


Menurutnya anggota Pemuda perlu mempelajari dan menghayati sejarah perjuangan Umno.


Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan anggota Pemuda dapat melaksanakan apa yang diamanahkan dengan berkesan dan seperti yang diharapkan oleh parti.


Katanya kekuatan dan kemantapan Umno sehingga kekal pada hari ini adalah hasil daripada kesedaran dan kesetiaan terhadap perjuangan Umno yang sebenar.


“Jika kita mempelajari dan menghayati sejarah perjuangan Umno tentunya kesedaran itu akan timbul di hati kita dan ini akan mendorong kita untuk melaksanakan tugas yang dimanahkan dengan ikhlas,” katanya.


Hadir sama pada persidangan itu termasuklah Ketua Pemuda Umno Beaufort Isnin Haji Aliasnih yang juga wakil Pemuda Umno Sabah, Wakil Umno Sipitang merangkap AJK Umno Sipitang Rapahi Idris dan Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Mohd Faizal Abdullah.


Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang memberitahu kebijaksanaan barisan kepimpinan Umno sejak dulu hingga kini, membolehkan rakyat dapat menikmati kemakmuran dan juga keharmonian.


Katanya kebijaksanaan itulah juga yang mendorong rakyat untuk menaruh keyakinan dan kepercayaan tinggi kepada Umno.


“Sebagai barisan pelapis kepada kepimpinan parti, anggota Pemuda harus tahu apa yang perlu difokuskan dalam perjuangan parti,” katanya lagi.


Share |