Thursday, July 26, 2007

Promosi Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2007


PROMOSI…Sapawi bersama Pegawai Daerah Sipitang Abdul Wahap Abdul Hamid (kiri) dan ahli jawatankuasa pelaksana mempamerkan `streamer’ Gata Sipitang 2007 .


SIPITANG: Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang kembali lagi awal bulan depan dengan menyaksikan pelbagai acara bakal diadakan.


Gata Sipitang 2007 diadakan selama tiga hari pada 3-5 Ogos ini dengan penganjur yakin lebih 70 ribu bakal mengunjungi daerah yang terletak di pedalaman bawah negeri ini.


“Kita yakin kehadiran pada kali ini mampu mengatasi kehadiran Gata dua tahun lalu,” kata pengerusi Jawatankuasa Induk Gata Sipitang 2007, Datuk Sapawi Ahmad di sini kelmarin.


Beliau berkata selain pelancong tempatan, rakyat daripada Labuan, Sarawak dan juga Brunei bakal turut berkunjung ke Sipitang.


Katanya bagi memastikan kehadiran pelancong tempatan dan luar itu memuaskan, pihaknya telah membuat persiapan rapi.


“Kami telah membuat persiapan rapi dan ini termasuklah menyusun pelbagai acara,” katanya lagi.


Selain memperkenalkan acara baru, Gata Sipitang pada kali ini juga mengekalkan beberapa acara lama seperti permainan dan pertandingan gasing serta permainan dan pertandingan Lansaran (permainan suku kaum Murut).


Permainan dan pertandingan gasing tentunya menyaksikan penyertaan daripada Labuan, Sarawak, Brunei dan juga Semenanjung selain Sipitang yang mewakili Sabah.


Kategori yang dipertandingkan termasuklah peringkat kebangsaan dan juga jemputan Borneo, kata Sapawi.


Mengenai Lansaran, Sapawi memberitahu permainan budaya dari suku kaum Murut itu mula diperkenalkan pada Gata Sipitang 2005 lalu.


Menurutnya acara itu dikekalkan selepas lebih 35 ribu orang menyertai permainan dan pertandingan tersebut.


“Bagi menggalakkan dan mempromosikan permainan Lansaran itu, kita memutuskan untuk mengadakannya pada sambutan kali ini…kita yakin sambutan pada kali ini pasti lebih menarik,” katanya lagi.


Selain gasing dan Lansaran, acara lain yang turut diadakan termasuklah kejohanan tarik tali jemputan Borneo dan Sabah, kejohanan seni silat jemputan Borneo dan Sabah, karnival makanan tradisi, sukan dan permainan rakyat, pertandingan fotografi Sipitang, Bintang Gata, Malam Gala Gata serta pertandingan bercucul.


Bagi memeriahkan dan menghiburkan orang ramai, jawatankuasa penganjur juga mengadakan persembahan muzik tradisi suku kaum Kedayan yang dikenali sebagai Sadaman.


Persembahan muzik tradisi itu akan memperlihatkan lebih 100 orang akan terlibat.


Dalam pada itu orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan tarian juara dunia singa dan naga dari kumpulan dari Sabah yang mewakili Malaysia ke pertandingan dunia di Shanghai China.


Sapawi yang juga wakil rakyat Sindumin memberitahu Gata Sipitang yang memfokuskan kepada pelancongan kebudayaan bakal dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun.


Perasmian diadakan pada 3 Ogos dan perasmian penangguhan pada 5 Ogos pula bakal dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Haji Musa Haji Aman.


“Pada perasmian penangguhan itu, Ketua Menteri juga akan melancarkan Esplanade yang bakal mengubah wajah Sipitang,” katanya lagi.


Menurutnya kesemua acara yang diadakan boleh disertai oleh orang ramai “maklumat lanjut mengenai boleh diperolehi dengan melayari laman web Gata Sipitang di www.gatasipitang.gov.my.”

Orang ramai juga berpeluang untuk mengunjungi Tamu Sipitang di mana selain jualan barangan, pertandingan dan pameran kraftangan turut diadakan bersama-sama dengan pameran jabatan, agensi kerajaan dan juga sektor swasta.


Sementara itu Sapawi melahirkan harapan agar pemimpin dan rakyat akan bekerjasama untuk menjayakan Gata Sipitang 2007.


Katanya kerjasama antara pemimpin dengan rakyat adalah kunci kepada kejayaan program tersebut.


“Ini telah dibuktikan dengan dua penganjuran Gata sebelumnya, kerjasama antara pemimpin dengan rakyat membolehkan kedua-dua penganjuran itu mencatatkan pencapaian yang membanggakan,” katanya lagi.
Share |