Thursday, July 24, 2008

Pelajar

TAHNIAH…Sapawi menyampaikan hadiah kepada pelajar yang cemerlang menyertai Kem tersebut.




SIPITANG: Penggunaan Bahasa Inggris bagi mata pelajaran sains dan matematik tidak harus dilihat sebagai halangan kepada golongan pelajar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.



Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata penggunaan itu harus dilihat sebagai salah satu cabaran yang harus dihadapi.



“Golongan pelajar harus tidak merasa tertekan tetapi ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya pada majlis penutupan khemah matematik sempena sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan Memalia dekat sini kelmarin.



Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Wakil Pegawai Pelajaran Sipitang Halim, Guru Besar S.K Memalia Taba Libang dan Pengerusi PIBG S.K Memalia Asmie Tengah.



Beliau berkata ibu bapa wajar memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak untuk menghadapi cabaran itu.


Katanya sokongan dan dorongan itu akan memberi keazaman serta kekuatan kepada anak-anak untuk berusaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam mata pelajaran tersebut.


Menurutnya mata pelajaran sains, matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris merupakan teras kepada pendidikan “dan ianya harus tidak diabaikan atau dipandang mudah.”


“Kita tidak perlu bimbang atau merasa takut…apa yang perlu kita pastikan anak-anak sentiasa berminat untuk mengikuti mata pelajaran itu,” katanya lagi.


Beliau berkata jika segala usaha itu dijadikan budaya, sudah tentu anak-anak tidak akan merasa tertekan untuk terus mengikuti mata pelajaran tersebut.


Menurutnya penguasaan generasi muda khususnya dari kalangan bumiputera dalam mata pelajaran berkenaan masih jauh ketinggalan.


“Kita perlu untuk berjaya bagi memastikan anak-anak kita menguasai mata pelajaran tersebut,” katanya lagi.
Share |