Thursday, July 24, 2008

kelas dewasa

MENIMBA ILMU…Sapawi menyampaikan alat-alat tulis kepada salah seorang peserta Kedap dimajlis tersebut



SIPITANG: Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati pembangunan dan kemajuan pendidikan.

Langkah itu termasuklah memastikan kadar buta huruf di kalangan rakyat dapat diatasi, kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Haji Ahmad.

Berucap pada perasmian Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli, Penan dan Pribumi (KEDAP) di Dewan Kebudayaan Kampung Solob dekat sini kelmarin, Sapawi memberitahu kerajaan mahu memastikan rakyat sedar akan pentingnya pendidikan dan juga ilmu.

Hadir pada majlis tersebut ternasuklah Wakil Rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Penyelia Pelajaraan Sipitang Hussien Sahat, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sipitang Abdul Rahman Mohd Noh dan Guru Besar S.K Solob Majidah Francis.

Majlis anjuran Kementerian Pelajaran itu disertai seramai 27 pelajar dewasa dari kampung Solob yang menyertai program tersebut membabitkan peruntukan RM64 ribu yang memakan masa selama 100 hari.

“Kerajaan mahu rakyat negara ini adalah rakyat yang berpendidikan dan berilmu kerana hanya dengan cara ini rakyat mampu menghadapi apa juga cabaran dan keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata kemajuan dan pembangunan yang dicapai oleh negara sudah tentu tidak berguna sekiranya masih ada rakyat yang mundur dalam pendidikan dan juga ilmu.

Katanya rakyat yang tidak berilmu dan berpendidikan adalah rakyat yang mudah dipergunakan dan sukar untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Sehubungan dengan itu Sapawi berkata penubuhan KEDAP tentunya amat berguna dalam memastikan rakyat negara ini menikmati pendidikan dan memperolehi ilmu.

Katanya langkah itu bukan sekadar membantu kerajaan mengatasi masalah buta huruf tetapi dapat membantu menggalakkan pembangunan pendidikan dan ilmu di kalangan generasi muda.

“Langkah itu juga akan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pentingnya ilmu,” katanya dan menambah rakyat yang berilmu dan berpendidikan adalah rakyat yang berfikiran luas dan akan sentiasa berusaha untuk mencapai kemajuan.

Sambil berharap agar kelas itu dapat dipergunakan, Sapawi memberitahu rakyat harus tidak mempersia-siakan segala peluang yang diberi.

Katanya kerajaan akan sentiasa berusaha mempastikan pembangunan pendidikan dapat dipertingkatkan.

“Kekuatan negara termasuklah dari aspek ekonomi akan mampu diwujudkan jika rakyat negara ini mempunyai ilmu dan berpendidikan,” katanya lagi.

Dalam pada Sipitang merupakan 3 buah daerah yang dipilih untuk program ini selain Kunak dan Kota Marudu.

Share |