Tuesday, June 9, 2009

Keikhlasan & Kesetian Ahli: Sapawi


BEAUFORT: Keikhlasan dan kesetiaan ahli terhadap perjuangan menjadi asas penting dalam mengekalkan Umno sebagai parti yang terus relevan.


Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata keikhlasan dan kesetiaan itulah juga yang telah mengekalkan Umno sehingga sekarang.


“Rakyat percaya dan yakin dengan perjuangan Umno kerana ahlinya memperlihatkan keikhlasan dan kesetiaan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok bagi Zon Beaufort Selatan di sini kelmarin.


Beliau berkata ahli Umno pada semua peringkat perlu menerima konsep perjuangan Umno dan bukannya menerima perjuangan itu dengan niat untuk kepentingan diri sendiri.


Menurutnya Umno ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran terutama sekali perubahan yang diperlihatkan oleh rakyat di Semenanjung.


“Apa yang berlaku di Semenanjung memperlihatkan kuasa rakyat dan cabaran kita ialah mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Umno sebagai tunggak Barisan Nasional,” katanya dan menambah perubahan itu juga menguji kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti.


Bagaimanapun Sapawi mengingatkan meskipun angin perubahan itu tidak berlaku di negeri ini, ahli parti pada semua peringkat harus tidak bersikap lewa atau alpa. Katanya perubahan itu boleh berlaku sekiranya ahli parti di negeri ini mengambil sikap tidak kisah dan enggan untuk mendekati akar umbi.


“Apa yang harus kita lakukan ialah terus mendekati akar umbi, terutama sekali generasi muda yang mudah dipengaruhi oleh dakyah dan fitnah,” katanya lagi.


Beliau memberitahu generasi muda perlu diberikan kesedaran terhadap keikhlasan perjuangan Umno yang telah memastikan negara ini terus makmur dan harmoni.


“Kita tidak mahu generasi muda terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang menyebabkan mereka mudah dipergunakan,” katanya lagi.-Oleh DZUL MOHD KASSIM


MANTAP...Sapawi dan Ketua Umno Zon Beaufort Selatan Usop Kahar (duduk dua dari kanan) merakamkan kenangan dengan sebahagian AJK, Ketua Cawangan dan ahli-ahli Umno yang menghadiri mesyuarat tersebut
Share |