Saturday, June 13, 2009

OKU Perlu Sokongan Ibubapa : Sapawi




SIPITANG: Usaha untuk membimbing golongan kurang upaya agar dapat berdikari sendiri masih memerlukan sokongan daripada ibu bapa.


Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sokongan dan dorongan ibu bapa amat penting dalam memastikan golongan OKU berupaya berdikari. “Tugas tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada tenaga pengajar sebaliknya sokongan dan dorongan ibu bapa turut penting,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Harian Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Dearah Sipitang Sabah Forest Industries di sini


Beliau berkata Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mengabaikan golongan OKU dan telah melakukan pelbagai usaha termasuklah menubuhkan PDK. Menurutnya PDK bukan sekadar untuk memberikan bimbingan tetapi juga untuk mengembangkan potensi yang dimiliki oleh OKU.


Katanya usaha melihat golongan OKU berupaya berdikari dan mampu mengembangkan potensi yang dimiliki tidak akan mampu tercapai tanpa adanya kerjasama daripada ibu bapa dan juga keluarga.


“Sokongan serta kerjasama ibu bapa serta keluarga dalam menjayakan program-program PDK mampu memberi kesan positif kepada OKU dan ia membantu meralisasikan hasrat melihat OKU mampu berdikari,” katanya lagi. Dalam pada itu Sapawi melahirkan rasa bangga dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh tenaga pengajar dan juga pihak pengurusan PDK Sipitang yang baru beroperasi selama tujuh bulan.


Katanya meskipun dalam serba kekurangan, namun kesungguhan tenaga pengajar dalam memberi bimbingan serta perhatian yang diberikan ke atas golongan OKU amat membanggakan.
“Saya menghargai apa yang telah dilakukan kerana pihak pengurusan dan tenaga pengajar PDK yang turut mengadakan lawatan luar,” katanya lagi. Ketika ini PDK Sipitang hanya mempunyai tiga orang tenaga pengajar dengan 28 OKU di mana tenaga pengajar itu juga telah mengadakan lawatan ke atas lima OKU yang terlantar di rumah.
Sapawi turut merayu agar sektor swasta dan individu tampil untuk memberikan sumbangan termasuklah sumbangan kewangan kepada PDK Sipitang. Katanya sumbangan sektor swasta khususnya syarikat-syarikat besar yang berjaya amat diperlukan.
“Sumbangan itu sebenarnya untuk menambahkan lagi kemudahan yang ada di PDK Sipitang,” katanya dan menambah sumbangan itu sesungguhanya amat bermakna dan membuktikan sektor swasta turut prihatin terhadap golongan OKU.-Oleh DZUL MOHD KASSIM
Caption story
LAWAT...Sapawi diiringi oleh Pengerusi PDK Sipitang Ramli Awang Said (dua dari kanan) dan Penyelia PDK Sipitang Roselind Ngimat (tiga dari Kiri) ketika melawat Kelas Pemulihan Anggota di PDK Sipitang yang beroperasi di Sabah Forest Industires.
Share |