Saturday, June 13, 2009

Satu Keluarga Satu Graduan: Sapawi











SIPITANG: Hasrat melihat satu keluarga satu graduan mampu tercapai jika ibu bapa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pendidikan merupakan asas utama dalam usaha mengubah kehidupan sesebuah keluarga dan juga negara.

“Sebuah keluarga tanpa pendidikan akan menjadi keluarga yang mundur dan ketinggalan...hakikat itulah juga kepada sesebuah negara,” katanya pada majlis perasmian Anugerah Kecemerlangan Akademik dan penyampaian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) peringkat parlimen Sipitang di sini baru-baru ini.
Majlis anjuran Jabatan Pendidikan Sipitang dan kerjasama dengan Biro Pendidikan Umno Sipitang turut di hadiri oleh Wakil rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Ombi, Pegawai Pelajaran Sipitang Abdul Razak Bin Abdul Karim, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Abdul Rahman Mohd Noh dan Yang Dipertua Majlis Guru-Guru Besar Sipitang Thaba Libang.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memastikan pembangunan dan kemajuan pendidikan di negara ini sentiasa dipertingkatkan agar rakyat negara ini terus dapat menikmati pendidikan seimbang dengan kemajuan dunia.
Bagaimanapun Sapawi berkata segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan tentu sahaja tidak akan bermanfaat jika ibu bapa masih menyandarkan tugas mendidik dan membangun pendidikan kepada guru-guru.
Katanya pendidikan harus bermula daripada rumah dengan ibu bapa memainkan peranan bagi membina minat, kesungguhan, keazaman dan semangat kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan.
Menurutnya generasi yang berpendidikan tinggi bukan sekadar membantu mengubah kehidupan keluarga tetapi akan turut memastikan negara terus membangun dan maju tanpa diganggugugat atau dipengaruhi oleh mana-mana negara.

“Kita berupaya bersaing dengan negara lain dan mencapai kemajuan serta pembangunan mengikut acuan sendiri,” katanya dan menambah kerajaan sendiri meletakkan agenda pendidikan sebagai agenda paling utama.

Sehubungan dengan itu Sapawi yang juga Ketua Umno Sipitang melahirkan harapan agar ibu bapa menguatkan lagi keazaman untuk membina minat anak-anak dalam pendidikan. “Berilah dorongan kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan, kemiskinan bukan lagi halangan untuk berjaya,” katanya lagi.

Beliau juga berharap agar ibu bapa dan guru akan sentiasa berhubung bagi membincangkan peningkatan pembangunan pendidikan.

Di majlis itu juga Sapawi telah menyampaikan hadiah dan sijil kepada pelajar yang cemerang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan STPM tahun lalu serta menyampaikan bantuan KWAPM berjumlah RM372 ribu kepada 1,860 pelajar sekolah rendah di Sipitang.-Oleh DZUL MOHD KASSIM
Caption Story

a) ASET NEGARA...Sapawi (tengah)diapit oleh Kamarlin (kanan) dan Ahmad (kiri) merakamkan kenangan bersama-sama pelajar daripada parlimen Sipitang yang menerima anugerah cemerlang di majlis tersebut.

b) CERIA...Sapawi merakamkan kenangan bersama-sama guru besar Sipitang yang menerima bantuan KWAPM di majlis tersebut.

c) BANTUAN...Sapawi menyampaikan bantuan KWAPM berjumlah RM23 ribu kepada guru besar SK Kelangsat Asli Mokhsin di majlis tersebut.
d) TAHNIAH...Sapawi menyampaikan hadiah dan sijil kepada salah seorang pelajar di majlis tersebut.
Share |