Tuesday, June 16, 2009

Umno Jangan Alpa dan Leka: Sapawi


MESRA...Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin (kanan) dan Amat (kiri) mendengar permasalahan yang dihadapi oleh salah seorang ahli Umno di majlis tersebut.


MANTAP...Sapawi menerima cenderakenangan daripada Ketua Umno Zon Bangkalalak Amat Talip di majlis tersebut.

BANGKALALAK (Beaufort): Kekuatan dan kemantapan Umno serta Barisan Nasional di negeri ini harus tidak menghadirkan kealpaan dan kelekaan.
Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kekuatan dan kemantapan itu bukan sekadar perlu diperkukuhkan tetapi wajar untuk dipertingkatkan.
“Kekuatan dan kemantapan yang kita miliki ketika ini haruslah dipertingkatkan kerana kita mahu Sabah terus menjadi kubu kuat kepada Umno dan juga BN,”
katanya ketika merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok Zon Bangkalalak di sini kelmarin.
Menurutnya Sabah dan Sarawak menjadi kubu kuat kepada Umno dan BN sesudah parti komponen mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya lepas.
Bagaimanapun Sapawi memberitahu kekuatan dan kemantapan yang dimiliki tidak harus melekakan atau melalaikan sebaliknya anggota parti pada semua peringkat perlu berusaha memastikan kekuatan dan kemantapan Umno serta BN di negeri ini terus dipertingkatkan.
Sebanyak 13 cawangan Umno dalam zon tersebut mengadakan mesyuarat di mana ia turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang Kamarlin Haji Ombi, Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah dan Ketua Umno Zon Bangkalalak Amat Talip serta Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin.
Dalam pada itu Sapawi yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri meminta agar rakyat memahami konsep Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
Katanya konsep itu diperkenalkan dengan tujuan memastikan rakyat negara ini meletakkan soal perpaduan dan persefahaman kaum di tempat yang paling utama.
“Perpaduan dan persefahaman antara kaum adalah kunci kepada kekuatan negara dan ia juga membolehkan kita hidup dengan harmoni dan menikmati kemakmuran,” katanya dan menambah rakyat termasuklah anggota parti harus tidak muda terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang.
Katanya pembangkang sentiasa berusaha memastikan rakyat berada dalam kekeliruan agar mudah untuk dipengaruhi dan seterusnya dipergunakan.
Menurutnya apa yang didakwa oleh pembangkang hanyalah untuk berkepentingan diri sendiri dan bukannya untuk rakyat.
“Mereka lebih suka mempergunakan rakyat untuk kepentingan diri mereka,” katanya lagi.

Share |