Wednesday, June 17, 2009

Teks Ucapan Datuk Sapawi Haji Ahmad Di Parlimen


YB Datuk Haji Sapawi Bin Haji Ahmad
Ahli Parlimen P.178 Sipitang


MANTAP...Sapawi merakamkan kenangan bersama Dzul Mohd Kassim ketika di Parlimen




Teks ucapan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad ketika membahas ucapan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 di Dewan Rakyat pada Jun 2008

Mukadimah

Tuan Yang Dipertua

Ucapan terima kasih didahulukan di atas peluang dan kesempatan yang diberikan kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan di Dewan Yang Mulia ni oleh YAB Perdana Menteri pada minggu lepas.

Saya mengikuti dan meneliti pembentangan kajian tersebut dan kemudian menganalisa serta memperincikannya sepanjang beberapa hari berikutnya.

Nyata jelas, apa yang diketengahkan dalam Kajian Separuh Pengal RMK9 menunjukkan komitmen tinggi pimpinan kerajaan untuk menentukan nasib serta kepentingan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya..

Saya bersetuju dan sependapat dengan beberapa rakan-rakan Ahli Yang Berhormat penyokong kerajaan yang berucap sebelum ini, mengenai realiti kejayaan pelaksanaan RMK9 biarpun barangkali ada pihak-pihak lain melihatnya dari sudut dan perspektif yang berbeza.

Ini kerana, mahu atau tidak, realiti jelas terpancar terang bahawa agenda pembangunan RMK9 telah membawa banyak perubahan kepada rakyat dan kerajaan sepanjang dua tahun lalu. Ia mencetuskan dimensi baru dalam kehidupan rakyat.

Sambil kita melihat pendekatan-pendekatan baru yang diperkenalkan kerajaan menerusi Kajian Separuh Penggal itu, yang tentunya untuk memastikan kejayaan serta keberkesanan agenda pembangunan rakyat, kita juga melihat banyaknya pencapaian RMK9 sepanjang pelaksanaannya sejak tahun 2006, sama ada dari segi ekonomi mahupun kemudahan asas rakyat.

Dalam bidang ekonomi misalnya, kita telah membuktikan kejayaan mengurus dengan baik walau dalam ketidaktentuan persekitaran dunia. Kajian separuh penggal itu menyatakan kejayaan negara mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang boleh dibanggakan, iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun.
Selain itu, banyak lagi kejayaan lain turut dicapai, antaranya dalam meningkatkan pendapatan per kapita penduduk, pengurangan defisit fiskal, penurunan kadar kemiskinan serta pengurangan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar.


Sebagai contoh, pendapatan per kapita berdasarkan pariti kuasa membeli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada RM46,478 pada tahun 2007 yang dicapai dalam suasana harga yang stabil.

Rumusan umum cukup membanggakan. Kejayaan pelaksanaan RMK9 yang berpaksi kepada Misi Nasional, membuktikan kebijaksanaan pimpinan kerajaan kita untuk terus memacu pembangunan negara kita biarpun dalam keadaan persekitaran ekonomi dunia yang begitu mencabar.
Daerah Sipitang asalnya tempat

Naik pesawat ke Dewan Rakyat
Maju negara kerana muafakat
Bijak pemimpin membawa berkat

Tuan Yang Dipertua

Oleh kerana masa perbahasan yang diberikan begitu terhad, saya akan menumpukan perbahasan kepada tiga isu utama dahulu, dan jika ada kesempatan serta diizinkan kelak, barulah saya beralih kepada topik-topik lain yang juga tidak kurang pentingnya

Memperkasa SAR dan membangun modal insan

Pertama sekali yang ingin saya sentuh adalah soal pembangunan insan yang terus diberi perhatian dan penekanan oleh kerajaan, baik menerusi RMK9 mahupun dalam Bajet tahunan yang dibentangkan.

Apabila memperkatakan mengenai modal insan, kita perlu melihatnya dalam konteks pembangunan insaniah dan ilmiah secara beriringan, kerana kedua-dua aspek ini merupakan pasyarat ke arah melahirkan modal insan bertaraf dunia, untuk menjadi pelapis yang cemerlang lagi terbilang pada masa depan.

Oleh yang demikian, sementara kita berusaha memastikan kemudahan dan prasarana asas akademik sekolah-sekolah kerajaan, perhatian khusus hendaklah diberikan kepada sekolah-sekolah agama di seluruh negara kerana di situlah sebenarnya bermula proses melahirkan modal insan berketrampilan, berwibawa dengan nilai-nilai keperibadian sejati.

Dalam hal ini, usaha-usaha ke arah memperkasa Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Menengah Agama (SMA) hendaklah terus diperhebatkan sementara perhatian tidak dipinggirkan daripada pembangunan sekolah-sekolah aliran biasa.

Jika banguan fizikal sekolah-sekolah agama dalam keadaan daif, jika kelasnya kekurangan guru, jika sekolahnya tiada bekalan elektrik dan jika kediaman gurunya serba kekurangan, bagaimana mungkin kita boleh mengangkat prestasi akademiknya. Sudah tentu keadaan sedemikian akan menghambat usaha mencemerlangkan pencapaiannya, dan jika ini tidak dibiar berterusan, tentulah sukar mencapai apa yang saya sebutkan tadi secara berkesan.

Bukanlah satu rahsia lagi hakikat mengenai masalah kekurangan guru dan kemudahan pembelajaran seperti komputer di sekolah-sekolah menengah agama seluruh negara sehingga dikatakan ia sedikit-sebanyak membantutkan pembelajaran pelajarnya, terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Sementara di sekolah-sekolah agama rakyat pula, keadaan fizikal bangunan tempat anak-anak belajar dan kekurangan guru-guru agama juga merupakan isu yang menuntut penyelesaian secara bersepadu dan berhemah daripada pihak berwajib.

Sehubungan itu, Kerajaan Pusat menerusi agensi seperti JAKIM diharap dapat melihat perkara ini dalam konteks yang lebih menyeluruh serta menimbang untuk menambahkan dana serta meningkatkan jumlah tenaga pengajar.

Penyelarasan hendaklah juga dibuat dengan kerajaan-kerajaan negeri demi untuk memastikan agenda pembangunan pendidikan agama ini lebih bersepadu, termasuk dari segi kurikulum, kerana difahamkan bahawa hanya ada beberapa negeri saja mempunyai persamaan kurikulum Sekolah Ugama Islam (SUI) mereka seperti di Selangor dan Johor.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian keadaan sekolah agama di Sabah yang juga memerlukan perhatian sewajarnya daripada agensi berkaitan.

Oleh kerana pembangunan pendidikan agama di Sabah berlainan sedikit sistemnya, maka perlu ada penyelarasan di antara Kementerian Pelajaran, Jabatan Perdana Menteri (menerusi JAKIM) dan kerajaan negeri (menerusi Majlis Ugama Islam Sabah dan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islan Negeri Sabah) untuk memberi perhatian dalam soal-soal berkaitan keperluan asas di sekolah-sekolah agama di negeri Sabah.

Langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan modal insan yang dilahirkan memenuhi keperluan negara kita, dilengkapi nilai-nilai mulia supaya generasi pelapis kita mempunyai nilai harga diri serta ketinggian sahsiah dalam diri mereka, kerana ini merupakan teras kejayaan pembangunan negara di masa depan.

Walau tinggi dan cemerlang sekali pencapaian pelajar jika tidak diiringi dengan sahsiah dalam diri mereka, ia tidak akan membawa makna yang mendalam.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, prestasi sekolah-sekolah agama di Sabah tidaklah sehebat sekolah aliran biasa lantaran kemudahan dan prasarananya yang masih ketinggalan, sebagai contoh di kawasan Parlimen Sipitang sendiri yang saya wakili, Terdapat banyak SAR di situ yang menagih perhatian dan simpati, umpamanya di SAR Padas Damit, Sindumin dan Bukau di mana jika kita lihat keadaan bangunannya sungguh mendukacitakan.

Inilah yang saya perkatakan sebagai satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan dalam rangka melahirkan modal insan terbilang yang serba mahir dalam pelbagai ilmu.

Langkah Kementerian Pelajaran menjadikan SAR di Kelantan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) merupakan suatu pendekatan yang barangkali boleh dipertimbang untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Ini kerana dengan langkah sedemikian membolehkan kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran memberi perhatian dan melaksana usaha untuk menaik taraf kemudahan prasarana sekolah termasuk tenaga pengajarnya.

Jika ini dapat dilakukan secara menyeluruh, saya yakin dan percaya usaha ke arah memperkasakan SAR di negara kita ini akan menjadi lebih berkesan. Malahan, jaminan yang diberikan oleh YB Menteri Pelajaran bahawa kementeriannya tidak mempunyai niat politik dalam usahanya itu adalah manifestasi kesungguhan kerajaan membangunkan bidang pendidikan tanpa mencampuradukkannya dengan soal-soal politik.

Kebaikan daripada langkah sedemikian membolehkan Kementerian Pelajaran menyedia peruntukan pembangunan secara konsisten. Contohnya di Kelantan saja, dilaporkan bahawa sebanyak RM6 juta disalur sebagai bantuan kepada SABK pada tahun 2006.

Menjamin keselamatan untuk kesejahteraan

Tuan Yang Dipertua

Langkah kerajaan menanguhkan pelaksanaan projek tertentu yang dirancang dalam RMK-9 sebagaimana disebutkan dalam Kajian Separuh Penggal itu, menunjukkan dengan jelas bahawa kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat. Langkah itu tentunya diputuskan dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan suasana di negara kita serta unjuran pertumbuhan serantau dan antarabangsa.

Yang menariknya dalam kajian separuh penggal ini, bidang-bidang utama seperti pendidikan, kebajikan rakyat, alam sekitar dan pembangunan luar bandar terus mendapat pembelaan sewajarnya. Semuanya dilakukan kerajaan dengan pertimbangan jangka panjang dengan matlamat akhirnya membawa kesejahteraan untuk rakyat.

Kita mengalu-alukan langkah serta pendekatan kerajaan ini. Sesungguhnya, sebuah kerajaan yang stabil banyak bergantung kepada kesejahteraan hidup rakyatnya.

Dan apabila bercakap mengenai kesejahteraan, mahu tidak mahu ia akan berkait rapat dengan soal keselamatan. Dalam konteks ini, kita menyambut baik usaha terbaru kerajaan menjamin keselamatan di negeri Sabah menerusi satu operasi besar-besaran mengusir pendatang tanpa izin (PTI) yang akan digerakkan dalam tempoh terdekat ini sebagaimana diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Sememangnya, isu mengenai PTI di Sabah yang sudah berlaku sejak berdekad lamanya sudah mencapai tahap kritikal sebagaimana yang disebutkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, justeru langkah sistematik perlu dilakukan untuk menyelesaikannya secara berkekalan. Ini penting untuk dilaksana kerana ia bukan sekadar isu keselamatan, tetapi juga mengaitkan kepada masalah sosial, ekonomi dan banyak lagi.

Oleh kerana isu ini juga membabitkan negara jiran, maka penyelesaian terhadap permasalahan ini juga sewajarnya mengambil kira aspek diplomatik. Namun, ia tidak akan menjadi penghalang terhadap komitmen kerajaan untuk menyelesaikannya, sebagaimana terbukti menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai PTI yang dipengerusikan oleh Orang Nombor 2 dalam kerajaan.



Perlu disedari bahawa masalah PTI yang perlu diselesaikan di Sabah tidak terhad kepada warganegara Filipina dan Indonesia semata-mata, tetapi juga rakyat dari negara lain seperti China, Thailand, Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan sebagainya, yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh had yang dibenarkan.

Sehingga kini, tidak diketahui jumlah sebenar PTI di Sabah, tetapi laporan menyebut bahawa jumlah PTI yang telah diusir dalam tempoh 1990 hingga Mei tahun ini adalah seramai 300,000 orang.

Lanjutan daripada isu PTI dan keselamatan ini, saya juga ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini mengenai beberapa keperluan prasarana asas pasukan keselamatan kita yang mesti diberi perhatian sewajarnya.

Contoh paling dekat ialah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sipitang, di tempat yang saya wakili misalnya. Sehingga kini, bangunan ibu pejabat ini masih menumpang di bawah flet kediaman polis di pekan itu, sedangkan daerah berkenaan merupakan sebuah daerah terpenting di Sabah -- iaitu sebagai pintu masuk utama pelancong dan pelawat dari Kalimantan (Indonesia) dan Negara Brunei Darussalam selain dari negeri jiran, Sarawak Bumi Kenyalang.

Biarpun keadaan bangunan ibu pejabat itu tidaklah sebegitu daif, tetapi keselesaan setiap anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas untuk negara kita, mestilah diberi keutamaan selain menjaga imej dan identiti PDRM sendiri.

Justeru adalah diharapkan agar kementerian yang berkaitan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap perkara ini, tambahan pula projek menyedia bangunan seperti IPD bukanlah dianggap sebagai projek mega yang membazirkan. Sebaliknya, projek sedemikian disifatkan sebagai berorientasikan kepentingan rakyat secara menyeluruh.


Pembangunan luar bandar

Tuan Yang Dipertua

Ketika RMK9 dibentangkan pada tahun 2006, soal pembangunan luar bandar merupakan antara keutamaan terpenting kerajaan. Ini kerana kerajaan mengakui hakikat perlunya keseimbangan pembangunan antara bandar dan desa, merapatkan jurang yang terpisah sekian lama sehingga mewujudkan batas sempadan yang tidak menguntungkan.



Berdasarkan kepada pengumuman Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, pada Khamis minggu lalu, adalah jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk benar-benar memastikan kejayaan terhadap apa yang dirancang.

Huraian terhadap kejayaan kebanyakan daripada perancangan awal itu menunjukkan apa yang diusahakan kerajaan itu bukanlah retorik semata-mata. Ini kerana kita dapat melihat kejayaan dicapai dalam beberapa bidang,

Sekali lagi, pembangunan luar bandar tidak dipencilkan dalam kerangka pembangunan fasa kedua RMK9 ini. Ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan dan pembinaan infrastruktur-infrastruktur, pembangunan insan dan perkembangan sektor pertumbuhan baru yang akan terus dipacu untuk keperluan jangka panjang pembangunan negara.

Yang ditegaskan oleh pimpinan kerajaan ialah mengutamakan projek mesra rakyat, meliputi penyediaan kemudahaan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan serta keselamatan awam.

Ini berasaskan kepada hakilat bahawa projek pembangunan RMK-9 dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membangunkan negara, justeru pelaksanaannya bukan hanya dilakukan secara berpilih-pilih, tetapi sebaliknya merangkumi seluruh negara tanpa mengambil kira sama ada kerajaan negeri dikuasai oleh parti pembangkang atau sebaliknya.

Bercakap mengenai pembangunan luar bandar ini, saya juga ingin menarik perhatian mengenai keadaan di Negeri Sabah dan Sarawak yang masih kekurangan prasarana asas di pedalaman terpencil. Semua ini menuntut perhatian sewajarnya, berasaskan kepada pendekatan sosial yang lebih berorientasikan kepentingan rakyat.

Bukanlah satu rahsia lagi mengenai keadaan jalan raya di kawasan-kawasan luar bandar di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak yang tidak berturap, umpama laluan bagi kembara lasak kenderaan pacuan empat roda sedangkan ia sebenarnya jalan raya utama penduduk.

Di kawasan Parlimen Sipitang sendiri, kawasan kita begitu luas dan sebahagian besarnya masih tidak berturap atau lebih dikenali sebagai jalan gravel. Jalan Mendulong-Meligan dan Meligan-Long Pasia, umpamanya sangat mendesak untuk diberi perhatian.


Ini kerana kawasan Long Pasia yang berdekatan dengan sempadan Kalimantan merupakan satu daripada destinasi pelancongan semulajadi di pedalaman Sabah yang mengamit kehadiran ramai pelancong. Di satu kawasan dikenali Long Miau pula telah dibangunkan sebuah agro-tourism membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta, tetapi laluan ke tempat berkenaan masih dalam keadaan yang menagih perhatian.

Penutup

Tuan Yang Dipertua

Perancangan yang dihuraikan dalam Kajian Separuh Penggal itu kelihatan lebih komprehensif kerana telah mengambil kira keadaan semasa dan unjuran masa depan. Kerajaan begitu komited dan bersungguh-sungguh menentukan agenda yang digariskan benar-benar mencapai sasaran dan memenuhi keperluan.

Justeru, kejayaan agenda yang dirancangkan itu banyak bergantung kepada sokongan rakyat untuk sama-sama bergandingan dengan kerajaan. Ketika usaha dilakukan oleh pimpinan kerajaan untuk mengatasi kesukaran yang dialami, sewajarnya rakyat turut sama berganding bahu untuk membantu kerajaan.

Ini bermakna semua pihak perlu tabah dan bersatu hati dalam mendepani segala cabaran yang terbentang di hadapan kita, termasuk soal krisis kenaikan harga minyak dan komoditi.

Tanpa sokongan semua pihak, tanpa komitmen padu segenap lapisan rakyat, hasrat kerajaan untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai negara maju tidak akan tercapai, tetapi sebaliknya rakyat pula akan menderita sekiranya apa yang dihasratkan dan dirancang untuk menjayakan RMK-9 gagal dilaksanakan kelak. Ini bermakna kejayaan RMK-9 bergantung kepada sokongan bersama rakyat.

Datang Parlimen naik kereta
Barisan Nasional menjadi bahtera
Berpadu kita mencapai cita
Membangun negara rakyat sejahtera
Sekian, saya mohon menyokong!







Teks ucapan Datuk Sapawi Ahmad, Ahli Parlimen Sipitang membahas Bajet 2009 di Dewan Rakyat

MUKADIMAH

Terima kasih Tan Sri Yang Dipertua


Sekalung penghargaan diucapkan kepada Tan Sri Yang Dipertua di atas peluang dan kesempatan yang diberikan kepada saya untuk bersama-sama membahaskan Bajet 2009 yang dibentangkan di Dewan Yang Mulia ini, pada bulan Ogos yang lepas.

Minggu ini kita masuk minggu kedua persidangan Dewan Rakyat setelah ditangguhkan sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak yang lalu. Memandangkan pada hari ini, kita baru saja memasuki minggu ketiga bulan Syawal yang mulia dan penuh keberkatan, rasanya belum terlambat untuk saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin, kepada Tan Sri Yang Dipertua serta semua rakan-rakan Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini.

Sepanjang tempoh kira-kira dua bulan selepas Bajet 2009 dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada bulan Ogos yang lepas, saya mengambil kesempatan itu untuk meneliti dan memperhalusinya “Bajet Prihatin” tersebut.

Umumnya, saya melihat ia sebagai satu bajet mesra rakyat kerana berpaksi ke arah menjamin kesejahteraan hidup rakyat, mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.

Saya katakan demikian kerana jelas terpancar daripada Bajet tersebut komitmen tinggi YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan ketika itu, dengan merumuskan tiga strategi utama, iaitu memastikan

kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara bagi menangani kesan persekitaran luar
yang semakin rencam.

Daripada ketiga-tiga rumusan itu, YAB Perdana Menteri menjelaskan bahawa fokus lebih tertumpu kepada strategi pengukuhan asas ekonomi iaitu menambah pendapatan boleh belanja rakyat sebagai usaha meringankan impak inflasi terhadap rakyat.

Impak inflasi dilihat sebagai cabaran terhadap kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana kerajaan perlu menggalakkan pembabitan aktiviti ekonomi yang aktif dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang boleh dianggap golongan majoriti di Malaysia .

PEMBANGKANG MENANGUK DI AIR KERUH

Oleh yang demikian, Tan Sri Yang Dipertua, saya tidak melihat Bajet 2009 ini sebagai “gula-gula” semata-mata sebagaimana yang diungkapkan oleh YB Ketua Pembangkang dalam ucapan perbahasannya tempoh hari.

Bagaimanapun, dari satu sudut lain, saya barangkali bersetuju jika dikatakan bajet ini sebagai “gula-gula berkhasiat dan bervitamin” yang memberi kesejahteraan hidup rakyat, terutama kami dari Sabah dan Sarawak yang mendapat peruntukan besar menerusi Bajet 2009 ini.

Gula-gula Rabbit diharam kerana Melamin
Bajet 2009 “gula-gula” bervitamin
Kepada pembangkang tengoklah cermin
Jangan menghentam rakyat dipermain


Tan Sri Yang Dipertua,
Sebelum ini, sudah beberapa rakan-rakan Ahli Yang Berhormat daripada pembangkang telah bangun membahaskan Bajet ini, tetapi saya tidak melihat adanya cadangan konkrit yang cuba diketengahkan untuk memperkasa ekonomi negara kita. Tidak ada langkah alternatif dicadangkan, tidak ada komitmen jelas dihuraikan bagaimana kita boleh mendepani segala cabaran yang dihadapi, melainkan mereka mengkritik dan terus mengkritik, termasuklah mendesak supaya satu bajet yang baru dibentangkan.

Secara rasionalnya, saya tidak melihat cadangan ini sebagai satu jalan penyelesaian. Secara praktiknya, ia bukanlah suatu pendekatan terbaik untuk memperbaiki keadaan. Sebaliknya, ia hanya akan memberi gambaran negatif terhadap keadaan negara kita pada pandangan dunia luar. Dan jika ini berlaku, sudah tentu ia akan menakutkan para pelabur, yang akhirnya barangkali menjauhkan diri dari negara kita. Apakah ini yang diharapkan oleh pembangkang? Apakah ini yang membawa kebaikan kepada rakyat?

BERPADU MEMPERKASA EKONOMI

Tan Sri Yang Dipertua
Mengakui bahawa ekonomi negara kita sentiasa dipengaruhi gelombang ekonomi dunia, maka mahu tidak mahu kita akan terasa kesan tempias yang berlaku di peringkat global.

Oleh yang demikian, usaha dan pendekatan lebih pragmatik sewajarnya diambil bagi memperkasakan ekonomi negara secara berterusan.

Pembangunan modal insan merupakan antara rantaian yang boleh menjana kea rah ini, justeru ia semestinya menjadi agenda penting dan keutamaan, walau dalam apa juga situasi. Ini bertujuan untuk memastikan proses pengukuhan daya saing negara terus berjalan demi memartabatkan agenda tamadun bangsa.

Justeru, budaya ilmu perlu diperkukuhkan secara berterusan, ilmu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama agar semua keputusan penting harus ditentukan berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah, sementara kenyataan yang cuma berdasarkan sentimen (sebagaimana yang dicanangkan oleh pembangkang) serta kepentingan tertentu perlulah dielakkan.

Dalam konteks mengukuhkan daya saing serta ketahanan negara untuk mendepani fenomena global yang semakin rencam, suatu anjakan paradigma amat diperlukan. Perkembangan ilmu semasa dan terkini haruslah difahami dan dikuasai agar negara dapat terus bersama komuniti dunia di pentas antarabangsa.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini mengenai suatu pendekatan yang diimplementasikan di Sabah, yang barangkali berlainan dengan negeri-negeri di Semenanjung, dalam menjana pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri kami, Sabah Di Bawah Bayu.

Koridor Pembangunan Sabah (SDC) merupakan suatu kerangka baru yang bakal mengubah landaskap sosioekonomi Sabah dalam jangka waktu pelaksanaannya sekitar 10 tahun ke hadapan ini.

SDC MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI SABAH

Tan Sri Yang Dipertua
Koridor Pembangun Sabah atau Sabah Development Corridor (SDC) adalah merupakan pembangunan yang bercirikan “private sector driven”. Strategi SDC adalah memanfaatkan kekuatan Sabah yang sedia iaitu lokasi yang strategik, kekayaan sumber asli dan warisan budaya dan biodiversity, untuk memperkembang dan memperkukuh aktiviti ekonomi berpotensi tinggi. Selaras dengan Halatuju negeri Sabah , sektor yang dipromosikan dalam inisiatif SDC adalah pertanian, pelancongan, perkhidmatan logistic serta pembuatan.

Bagi sektor pelancongan SDC mengariskan strateginya untuk mencapai perolehan yang tinggi dan menarik pengunjung agar tinggal dalam tempoh yang lebih lama di negeri ini. Dalam rangka tindakan SCD juga digariskan usaha meningkatkan kedudukan Sabah sebagai eko-kembara perdana, serta destinasi kediaman kedua kelas atasan dengan vila percutian mewah serta aktiviti gaya hidup.

Kemampanan pembangunan adalah tema utama bagi sektor ini. Penglibatan komuniti dalam pembangunan pelancongan adalah digalakkan dan malah disokong terutama dalam pembangunan kraftangan tradisional dan aktiviti homestay dan kampung.

Keperluan membangunkan sistem logistik negeri bagi menangani kos perniagaan yang tinggi di negeri ini berbanding negeri-negeri lain juga menjadi agenda penting SDC. Sistem logistik, pengangkutan dan infrastuktur lain adalah merupakan komponen yang tidak boleh dipinggirkan untuk menjana eknomi negeri ini.

Sektor pertanian pula ditumpukan sepenuhnya kepada usaha meningkatkan kemampuan diri dalam penghasilan makanan, penanaman tanaman bernilai tinggi untuk dieksport serta membantu dalam pembasmian kemiskinan. Sub-sektor pertanian yang dipromosikan dalam SDC termasuk akuakultur, perikanan laut dalam, penternakan dan hortikultur.

Strategi bagi sektor pembuatan adalah menarik syarikat bertaraf dunia membuka pangkalan mereka dan memacu pertumbuhan aktiviti pembuatan hiliran dengan memanfaatkan sumber asli Sabah seperti kelapa sawit, minyak dan gas, mineral dan balak sebagai bahan mentah. Peringkat permulaan, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan dan menaik taraf faktor pendaya seperti infrastuktur dan modal insan.

Bilangan IKS juga akan ditingkatkan sehingga ke tahap mencukupi (critical mass) bukan sahaja dapat menyokong syarikat multinasional yang lebih besar, tetapi dapat menyediakan ruang untuk pertumbuhan pada masa hadapan.

Wawasan SDC adalah untuk menjadi sebuah negeri yang bertenaga, berjaya dari segi ekonomi dan diidamkan sebagai tempat kediaman selesa.

Secara umumnya banyak aktiviti SDC memerlukan penglibatan lebih ramai ushawan dan pelabur.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu melihat dan mencari penyelesaian dengan serius isu-isu pembangunan yang dihadapi oleh negeri Sabah yang memberikan kesan kepada perkembangan ekonomi keseluruhannya. Selain dari isu kemiskinan, kebanjiran pekerja asing, keselamatan dan pembangunan ruang ekonomi yang tidak seimbang dan fragmented, Isu-isu yang juga perlu diberi perhatian serius yang sering disuarakan oleh para usahawan adalah:
Kos Perniagaan yang tinggi ( Kos pengangkutan/perkapalan tinggi: jumlah kargo rendah, frekuensi kedatangan kapal rendah dan double-handling di sebabkan oleh Dasar Kabotaj); Isu infrastruktur asas, air dan letrik; dan Kekurangan ‘critical mass’ modal insan.

Pembangunan pengangkutan darat dan lain-lain infrastuktur di Sabah masih jauh ketinggalan dan ini menghadkan pertumbuhan sektor logistik bagi menyokong pembagunan perniagaan dan perdagangan. Oleh kerana pembangunan sektor logistik jauh kebelakang, menyebabkan wujudnya rantaian masalah perniagaan dan perdagangan di Sabah . Kos untuk menjalankan perniagaan yang tinggi ini, banyak membantutkan minat usahawan-usahawan baru dan ini tidak akan dapat menggalakkan perkembangan sektor-sektor ekonomi yang lain.

Keadaan infrastuktur negeri Sabah , logistik dan perkhidmatan sokongan untuk PKS di Sabah masih perlu banyak diwujudkan, diperbaiki dan diperkemaskan. Usaha-usaha galakan, latihan dan motivasi keusahawanan di kalangan kaum bumiputera terutama diluar Bandar akan lebih bermakna dan berkesan dengan penyediaan perkhidmatan dan sokongan asas yang diperlukan dan mudah diperolehi oleh para usahawan.

Secara umumnya tahap ‘survival’ usahawan bumiputera diluar Bandar di Sabah adalah amat rendah kerana rantaian halangan dan risiko yang perlu dilepasi amat mencabar dan memerlukan pengorbanan yang terlalu berat. Senario seumpama ini tidak mampu menarik ramai usahawan baru dan pelabur luar.

Sebagai contoh mudah, bagi usahawan kecil-kecilan (PKS) makanan luar bandar Sabah, bahan-bahan pembungkusan seperti botol plastik, tin, sesetengah bahan mentah, pencetakan dan label (yang merupakan perkara asas pemasaran) tidak mudah diperolehi di Sabah. Ini menyebabkan meningkatnya kos peniagaan melebih 50%-70% kerana PKS ini terpaksa mendapatkan bahan-bahan tersebut di luar Sabah .

Ini tidak termasuk kos penghantaran barangan siap di dalam dan ke luar negeri. Kita belum lagi bercakap tentang halal, sistem logistik halal untuk memastikan barangan tidak dicemari dan berada mengikut spek kualiti yang ditetapkan semasa pemprosesan, penyimpanan dan penghantaran. Rantaian masalah dan kekurangan yang dihadapi oleh para usahawan perlu diberi perhatian serius kerana ianya memberikan kesan yang ketara dalam pembangunan ekonomi negeri.

Kajian SDC menunjukkan bahawa kurangnya aktiviti pembuatan dan hiliran di Sabah juga mengakibatkan bilangan kontena import dua kali ganda kontena eksport. Ini memberikan kesan terhadap kadar tambang pengangkutan apabila kapal terpaksa pulang dengan hanya separuh muatan.

Infostruktur(ICT), termasuk bekalan elektrik, komponen fizikal yang membentuk jaringan digital, telekomunikasi dan perkhidmatan internet di Sabah juga amat jauh ketinggalan. Berdasarkan statistik 2005, 15% rumah di luar bandar masih tidak mempunyai letrik berbanding 100% di Semenanjung. Talian telefon rumah hanya dinikmati oleh 5.27% penduduk di luar bandar Sabah, peratus terendah di Malaysia . Dalam sektor perniagaan pula penggunaan sistem telekomunikasi di Sabah hanya 2.66% berbanding 5.28% bagi Malaysia . Bagi penggunaan internet Sabah hanya mencatatkan 1.6% berbanding Selangor 8.49% (Knowledge-based Economy Master Plan , Malaysia , 2002)

Berdasarkan input logistik dan ICT yang masih lemah, secara umumnya ini memberikan kesan dan membantutkan perkembangan pembangunan negeri Sabah .

Dari kajian juga didapati usahawan negeri ini terutama PKS, bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan dan bimbingan, tetapi juga penyediaan prasarana perniagaan yang mudah diperolehi serta latihan dan pendedahan yang berterusan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan SDC dapat dilaksanakan dengan jayanya ‘linkage dan leakage’ yang dikenalpasti dalam SDC terutama keperluan menambah, memperkemas dan menaiktaraf sistem logistik, telekomunikasi dan sistem sokongan lain negeri tidak boleh dilengah-lengahkan. Masa adalah kos dalam perniagaan. “Speed and efficency’ amat diperlukan ketika ini untuk terus dapat seiring dan bersaing.

Pendekatan pembangunan “one size fits for all” dalam menangani masalah ushawan juga perlu dielakkan kerana punca dan penyelesaian bagi usahawan tempatan Sabah adalah berbeza keadaannya berbanding usahawan Semenanjung Malaysia yang lebih banyak pendedahan, prasarana, ‘networking’ dan ‘advantage’ (dengan Izin) kerana lebih dekat dengan perkhidmatan sokongan yang diperlukan.

Tan Sri Yang Dipertua
Sabah sememangnya kaya dengan sumber alamnya, tetapi dari segi pencapaian ekonomi dan taraf hidup rakyat, Sabah masih jauh tertinggal ke belakang. Kekayaan sumber alam sahaja tidak mampu menjamin keutuhan ekonomi, jika modal insan tidak diuruskan serta dilengkapkan dengan pegetahuan dan kepakaran yang diperlukan. Oleh yang demikian dalam era k-ekonomi ini, kepentingan pembangunan modal insan dan ‘capacity and capability building’ amat diperlukan agar lebih ramai anak-anak Sabah mempunyai ilmu dan kepakaran serta keupayaan yang diperlukan selaras dengan inisiatif SDC agar negeri Sabah dapat seiring dengan kemajuan pembangunan perdana dan negeri-negeri maju yang lain serta mampu beraksi di peringkat global.

Sesungguhnya, peningkatan dalam peluang perniagaan dan keusahawanan terbentang luas,khususnya dengan pelancaran gagasan pembangunan wilayah bersepadu yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri seperti SDC di Sabah. Ini sememangnya membuka dan menyediakan peluang penyertaan yang begitu luas bagi penglibatan industri PKS di pelbagai sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi, terutamanya di sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.

Saya yakin rakyat Sabah akan mendapat manfaat SDC, jika kerajaan terus dan serius melaksanakannya tanpa terlalu banyak `red tapes’. Inisiatif SDC bukan sahaja dapat menjana kekayaan baru, tetapi mampu melahirkan lebih ramai dan pelbagai usahawan dan kepakaran bidang-bidang strategik dan baru yang diperlukan oleh negeri ini. Ini sekali gus dapat memastikan rakyat mempunyai pendapatan di atas garis kemiskinan dan pendapatan boleh guna yang tinggi.

PENUTUP

Tan Sri Yang Dipertua
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengimbau kembali intipati ucapan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2009, yang antara lain menegaskan bahawa kestabilan politik negara wajib dipelihara bersama-sama.

Kenyataan tersebut perlu diberikan perhatian berat oleh semua pihak di negara ini. Sesungguhnya, semua pihak mempunyai tanggungjawab bersama membina sebuah negara yang aman, damai dan teguh bersatu.

Rakyat tidak akan dapat dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara.

Oleh itu, rakyat perlu menolak tindakan sesetengah pihak yang gemar menimbulkan suasana `ketidaktentuan' ini dengan menolak perjuangan sempit mereka Rakyat perlu memahami bahawa golongan ini tidak akan duduk diam selagi tidak memperoleh kuasa. Malah, mereka akan melakukan apa saja bagi mendapatkan kuasa termasuk merampas mandat yang diberikan oleh rakyat.

Oleh itu, segenap lapisan rakyat perlu menyokong kerajaan yang ada sekarang yang sudah berikrar untuk membawa kemajuan dan perubahan

Menjadi tanggungjawab kita semua, tanpa mengira kaum dan keturunan, terus bersatu padu untuk memastikan negara ini sentiasa
stabil dan tidak mudah digugat oleh mana-mana pihak.

Kerajaan yang ada sekarang ini, yang terbina atas keringat perjuangan serta mandat daripada rakyat, perlu terus dipertahankan.

Kita sudah berada di atas bahtera, sebuah kerajaan dikenali Barisan Nasional – marilah kita bersama-sama mendayung perjuangan di atas layar persahabatan menuju destinasi keamanan dan kebahagian rakyat jelata.

Sekian, terima kasih. Saya Mohon Menyokong.
Share |