Tuesday, June 23, 2009

Umno Jangan Leka!


KETAATAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menerima cenderakenangan daripada Ketua Umno Zon Kebajang Abdullah Matrais di majlis tersebut.


KESETIAAN…Sapawi diperhatikan Kamarlin menerima cenderakenangan daripada Ketua Umno Zon Lupak Mohd Sidi Manan.

BEAUFORT: Kecemerlangan Umno Sabah pada pilihan raya lalu tidak harus menghadirkan kelekaan
Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kekuatan dan kemantapan Umno Sabah harus terus dipertahankan dan dipertingkatkan.
“Apa yang berlaku pada pilihan raya lalu menyaksikan Umno terus kukuh hanya kekuatan dalam Barisan Nasional tergugat disebabkan kemerosotan sokongan kepada parti-parti komponen,” katanya ketika merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok Zon Lupak dan Kabajang dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan merangkap AJK Umno Sipitang Ahmad Mumin, Naib Ketua Pemuda Matbali Musah, Ketua Puteri Umno Sipitang merangkap Exco Puteri Umno Pusat Maimunah Sidek, Ketua Umno Zon Lupak Mohd Sidi Manan dan Ketua Umno Zon Kebajang Abdullah Matrais.
Sapawi berkata pencapaian itu harus tidak membuat anggota parti pada semua peringkat bersikap sambil lewa.
Sebaliknya sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap Umno perlu diperkukuh dan dipertingkatkan, katanya dan menambah apa yang berlaku di Semenanjung harus tidak berlaku di Sabah.
Katanya anggota parti pada semua peringkat perlu terus mendekati akar umbi dan berusaha untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi.
Menurutnya masalah itu perlu diberikan perhatian dan tindakan untuk mengatasinya hendaklah dilakukan.
“Pada masa yang sama kita pastikan akar umbi tidak dipengaruhi oleh dakyah pembangkang…segala isu yang dilemparkan hendaklah diperjelaskan.
“Perkara ini perlu dilakukan dan tidak dibiarkan kerana kita mahu rakyat tidak berada dalam keadaan keliru yang boleh menyebabkan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada Umno tergugat,” katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah menasihatkan agar cawangan Umno sentiasanmengemaskini datang keahlian masing-masing.
Katanya pemaskinian ahli itu penting bagi memastikan pentadbiran dan pengurusan cawangan berjalan dengan lancar.

Share |