Wednesday, June 24, 2009

Umno Pendokong 1 M'sia

MESRA RAKYAT...Sapawi bersalaman dengan sebahagian ahli-ahli Umno yang menghadiri mesyuarat cawangan berkelompok tersebut.
SEMANGAT...Sapawi (enam dari kanan) dan Kamarlin bersama-sama pimpinan Umno ketika menghadiri mesyuarat tersebut.

SIPITANG: “Bukan setakat menyokong tetapi turut menjadikan pendokong dalam memastikan kejayaan Satu Malaysia.”
Itulah saranan yang diluahkan oleh Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok bagi Zon Bandar dan Marintaman di Balairaya Kampung Menengah kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Bendahari Umno Sipitang Mustapa Kassim, Ketua Puteri Umno Sipitang Maimunah Sidik, Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah dan Ketua Zon Umno Bandar dan Marintaman Ramli Awang Said.
Sapawi berkata anggota Umno pada semua peringkat harus memberi dokongan dan sokongan terhadap pelaksanaan konsep tersebut.
Katanya konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu merupakan asas perjuangan di mana rakyat diletakkan sebagai keutamaan.
“Ia sejajar dengan perjuangan Umno di mana perjuangan itu lebih menjurus kepada kepentingan rakyat dan bukannya untuk diri sendiri,” katanya dan menambah dokongan dan sokongan ahli parti menjadi teladan terbaik kepada rakyat.
Menurutnya ketika ini pihak pembangkang berusaha mengabui dan mengelirukan rakyat dengan mengemukakan pelbagai tanggapan negatif terhadap konsep tersebut.
Oleh itu, katanya amat penting bagi anggota Umno pada semua peringkat memahami dan seterusnya menghayati konsep tersebut.
Katanya memahami dan menghayati konsep itu akan membolehkan anggota parti memberi penjelasan sebenar kepada rakyat berhubung isu-isu yang berkaitan dengan konsep tersebut.
“Kita berdepan dengan pelbagai cabaran tetapi kita tidak bolh berdiam sendiri sebaliknya bertindak untuk memastikan rakyat tidak dikelirukan,” katanya lagi.
Sapawi turut menasihatkan agar anggota pada peringkat cawangan sentiasa memperkukuhkan hubungan dan kerjasama yang sedia ada dipertingkatkan.
Menurutnya pertelagahan atau perbezaan pendapat harus tidak menghadirkan permusuhan yang boleh menyebabkan perpecahan.-Oleh DZUL MOHD KASSIM

Share |