Monday, August 17, 2009

Usah Gadai Negara!


ROLE-MODEL...Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama ahli keluarga pejuang kemerdekaan Jakim Kemin,87 (dua dari kanan)


SOKONGAN...sebahagian penduduk setempat yang menghadiri majlis tersebut

SEMANGAT...Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan jalur gemilang kepada pengerusi penganjur Jakim Kemin,87 di majlis tersebut.


LUMADAN (Beaufort): `Usah gadai negara demi memenuhi impian dan agenda pihak tertentu.’
Begitu nasihat Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika merasmikan sambuatan Bulan Kemerdekaan di Kampung Jaya di perkarangan rumah pejuang kemerdekaan Jakim Kemin kelmarin.
“Sekali kita rebah bukan mudah kita untuk bangun semula...kemerdekaan negara harus kita pertahankan,” katanya.
Menurutnya meskipun negara mencapai kemerdekaan tanpa berlakunya tumpah darah, namun ia harus dihargai dan pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu wajar untuk dikenang.
Katanya kebijaksanaan pejuang kemerdekaan terdahululah membolehkan rakyat pada hari ini bebas dari belenggu penjajahan dan akhirnya dapat menikmati kehidupan yang selesa, makmur dan harmoni.
Bagaimanapun, beliau berkata pada ketika ini ada pihak cuba mewujudkan huru-hara dengan mempengaruhi rakyat.
Katanya pihak tertentu mempengaruhi negara untuk mencaci dan menghina negara demi kepentingan dan agenda mereka.
“Keadaan ini amat menyedihkan kerana ada di kalangan rakyat telah terpengaruh sedangkan apa yang mereka lakukan hanya untuk memenuhi impian dan agenda pihak tertentu.
“Usah biarkan kemerdekaan negara kembali tergugat dan akhirnya menyebabkan kita kembali dijajah, sekali kita membuat keputusan yang salah, ia bakal berpanjangan dan akhirnya akan mewujudkan penderitaan kepada generasi akan datang,” katanya dan menambah tindakan mencaci dan menghina negara merupakan tindakan yang tidak harus dilakukan oleh rakyat negara ini.
Sapawi berkata rakyat harus mempelajari dan mengingati sejarah dan pejuang kemerdekaan terdahulu wajar dijadikan role model.
Menurutnya persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat harus dikekalkan bagi memastikan kemerdekaan negara dapat dipertahankan.
“Kita mencapai kemerdekaan kerana kebijaksanaan pejuang terdahulu tetapi bukan mudah untuk mencapainya dan pejuang terdahulu melakukan pengorbanan yang sewajarnya kita peringati,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pegawai Penerangan Beaufort Marlina Jamarin, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun dan Pengerusi Penganjur Jakim Kemin.

Share |