Monday, August 17, 2009

Sekolah Agama Negeri Perlu Perhatian Serius


SOKONGAN...Sapawi dan Kamarlin bersama ibubapa yang menghadiri majlis tersebut


SUMBANGAN...Sapawi menyampaikan sumbangan set komputer kepada Guru Besar SAN Gadong Samalin Takari di majlis tersebut.

GADONG (Beaufort): Kekurangan dan masalah yang dihadapi oleh sekolah Agama Negeri (SAN) dalam Parlimen Sipitang diberi perhatian serius.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha mengatasi masalah yang dihadapi itu akan dilakukan dengan penuh kesungguhan. "Kekurangan dan masalah SAN tidak akan dibiarkan....saya dan wakil rakyat Lumadan dan Sindumin akan meletakkan kekurangan serta masalah SAN itu sebagai perkara utama yang harus diberi perhatian," katanya pada majlis penyerahan set komputer di SAN Gadong dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Kamrlin Ombi, Guru Besar SAN Gadong Samalin Takari dan Pengerusi PIBG SAN Gadong Ali Rahman.

Sapawi berkata kekurangan prasarana, tenaga pengajar, ketiadaan bangunan sekolah yang baik dalam SAN amat menyedihkan dan perlu diberikan perhatian yang serius.

Katanya kekurangan dan masalah itu tidak akan dibiarkan kerana pendidikan agama penting dalam membentuk serta melahirkan generasi muda yang cemerlang..

Beliau berkata generasi muda yang cemerlang tidak sekadar bergantung kepada kejayaan dalam pendidikan akademik tetapi perlu didokong dengan kecemerlangan dalam pendidikan agama.

"Pendidikan agama penting dalam membentuk sahsiah pelajar...hal ini perlulah kita sedari," katanya. Sambil melahirkan rasa bangga dengan usaha tenaga pengajar SAN.

Sapawi memberitahu kejayaan melahirkan generasi muda yang cemerlang wajar diberikan keutamaan. Menurutnya meskipun berdepan dengan serba kekurangan namun kesungguhan tenaga pengajar bagi memberikan bimbingan sewajarnya diberikan pujian.

"Saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan syabas...moga usaha seumpama itu dapat terus dipertingkatkan kerana ketika ini tenaga pengajar berdepan dengan cabaran teknologi maklumat dan konunikasi ICT," katanya dan menambah kejayaan pelajar SAN merupakan kunci kepada kejayaan Islam itu sendiri.

Bagaimanapun beliau menegaskan untuk mencapai kejayaan itu, kerjasama ibu bapa dan guru amat penting. Menurutnya dengan adanya kerjasama yang baik, sudah tentu usaha mencapai keputusan cemerlang mampu untuk dicapai.

Share |